Aizat Sharif

“Aku pakat dengan 3..4 orang member.. Masing2 pakai baju kebaya yg sama warna… Lepas tu.. soh (suruh) depa dok di 3..4 lokasi yg berbeza.. Yg lain dok tepi jalan ja.. yg last dok tgh jalan.. manakala aku drive kete (kereta) siap camera.. rekod sepanjang jalan.”

“Boh tajuk gempak2 sikit.. kompom viral.. sebab… masyarakat kita mudah percaya dan terpedaya dgn cerita2 camni.. so apa aku dapat? Aku dapat perbodohkan org yg mengaku cerdik.. hahahaha sekian cerita aku malam ni.."

Itu dakwaan individu yang dipercayai bertanggungjawab merakam dan memuat naik klip video hantu berkebaya merah" di sekitar Kulim yang tular di media sosial sejak semalam.

Berdasarkan mesej yang ditularkan di laman sosial itu, individu terbabit mendakwa memuat naik video tersebut sebagai gurauan bertujuan ‘memperbodohkan orang ramai yang mengaku cerdik’.

Menerusi paparan dalam aplikasi WhatsApp itu, individu berkenaan mengaku bertanggungjawab merakam video berkenaan dengan tujuan ‘memperbodohkan’ orang ramai dengan kewujudan hantu berkenaan.

Berdasarkan WhatsApp yang tular dari kumpulan ‘Taman Bunga Raya Official’ itu, individu itu mengaku berpakat dengan tiga hingga empat rakannya supaya mengenakan pakaian baju kebaya yang sama warna di laluan itu.

Dalam video berdurasi 56 saat itu, seorang lelaki dan rakannya kononnya telah merakam visual seorang ‘wanita berkebaya merah’ di tepi jalan ketika melalui Jalan Bukit Lengkok, Kulim awal pagi semalam.

‘Hantu’ yang sama kelihatan muncul di tiga lokasi berbeza sepanjang jalan tersebut sebelum tiba-tiba muncul di tengah jalan sehingga menyebabkan pemandu terpaksa menghentikan kenderaannya sebelum berpatah balik.

Video itu telah ditonton lebih 171,000 kali dan dikongsi lebih 3,600 pengguna Facebook.

Usaha NSTP untuk mendapatkan komen individu berkenaan gagal selepas dia tidak menjawab panggilan sebelum mematikan telefon bimbitnya itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Ahmad Nasir Jaafar mengesahkan bahawa tiada laporan polis diterima oleh pihaknya berkenaan video kejadian berkenaan.

"Kami mendapati video yang dirakam itu lebih kepada perbuatan individu atau kumpulan nakal yang bertujuan untuk menakutkan pengguna jalan raya di kawasan itu terutama di waktu malam.

"Perbuatan ini sama jugalah seperti kes di Taman Pinang Jaya, Bukit Pinang pada Januari lalu di mana ada kanak-kanak nakal yang sengaja berpakaian seperti ‘hantu pocong’ untuk menakutkan orang ramai terutama kanak-kanak melalui jalan di kawasan itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, sehingga kini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung video kejadian itu mahupun paparan media sosial WhatsApp oleh pihak yang bertanggungjawab di sebalik rakaman video kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 6:05 PM