ESTRANGED. FOTO Aziah Azmee
Georgie Joseph

Beberapa tahun kebelakangan ini, nama Estranged agak jarang didengar. Mereka tidak aktif seperti dulu dan jarang muncul di kaca TV.

Bagaimanapun, band dianggotai Rich Gimbang (vokalis), Din Hormatov (gitar) dan Hanafi (gitar) ini sebenarnya masih terus berkarya bagi mengukuhkan nama menerusi strategi tersendiri.

Rich berkata, keputusan ‘merehatkan’ Estranged tidak lama dulu mungkin penyebab mereka agak senyap.

Namun, Estranged kini berazam mahu terus konsisten semula dalam berkarya.

“Kami tidak merancang berehat panjang, namun ia berlaku sendiri. Ia bukanlah bermaksud kami mahu menyepi, cuma memberi ruang buat masing-masing menumpukan seketika kepada kehidupan peribadi.

“Sekarang kami sudah kembali dengan pelbagai perancangan terutama untuk mengeluarkan lagu baru. Kami mahu pastikan konsisten dalam mengembangkan karier.

“Untuk tahun ini, kami akan tampil dengan tiga atau empat single baru selepas melancarkan lagu Sebelum Dan Selepas tidak lama dulu,” katanya.

Rich juga mengakui hala tuju Estranged kini semakin jelas apabila mereka mahukan band itu dikenali sebagai band berasal dari Sabah.

Sehubungan itu, setiap karya terbaru mereka akan mengandungi elemen bunyian dari Borneo terutama Sabah.

“Kami akan terus mengekalkan konsep muzik alternatif rock sebagaimana lagu terdahulu. Kami juga mengambil inspirasi daripada bunyi alternatif rock era 1990-an.

“Bagaimanapun, sekarang kami mahu menekankan elemen bunyi dari Borneo seperti alat muzik sape dan kulintangan. Kami mahu peminat tahu Estranged sebenarnya sebuah band berasal dari Sabah.

“Lirik lagu masih berkisarkan cinta yang penuh emosi. Kami turut menerapkan mesej mengenai sosial dan persekitaran,” katanya.


IMPIAN beramal akhirnya terlaksana. FOTO Aziah Azmee

Masa untuk berbakti

Untuk tahun ini juga, impian band ini akhirnya tercapai untuk berbakti kepada komuniti dan melakukan aktiviti amal menerusi sebuah projek di Sabah.

Projek berkenaan adalah untuk mengumpul dana bagi menyalurkan bekalan elektrik di sebuah kampung di Ranau, Sabah menerusi tenaga hidro.

“Projek itu sebenarnya idea daripada Drum Asia Studio yang memberitahu kami sebuah organisasi iaitu Light Up Borneo terbabit menjalankannya.

“Jadi kami pun memutuskan untuk mengambil bahagian apabila berperanan memberi kesedaran kepada orang ramai supaya dapat menghulurkan bantuan membangunkan projek berkenaan.

“Pada hujung Jun nanti, kami juga akan mengadakan konsert di kampung berkenaan iaitu Kampung Sungai Toubang sempena kejayaan projek itu. Sesungguhnya kami sangat gembira akhirnya dapat berbakti kepada masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Estranged juga bakal memperluaskan capaian peminat mereka di sekitar Borneo menerusi sebuah projek konsert ekspres.

Menerusi projek berkenaan, band itu bakal menjelajah lebih 60 bandar dan pekan di seluruh Sabah dan Sarawak bagi lebih mendekati peminat di sana.

“Projek ini kerjasama dengan komuniti trak di sana apabila kami akan bergerak dari lokasi ke satu lokasi dengan menaiki trak. Di atas trak itulah juga kami akan membuat konsert ekspres.

“Oleh kerana jarak antara lokasi agak jauh, kami hanya akan membuat persembahan dalam sekitar 30 hingga 40. Pada masa sama, kami akan mengambil peluang itu untuk beramah mesra dengan penduduk di setiap lokasi.

“Projek itu akan berlangsung selama setahun bermula Ogos nanti. Selepas kejayaan projek jelajah kampus tahun lalu, kami berharap projek ini akan berjalan lancar juga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 4:10 AM