PENUNGGANG motosikal R Perumal Siva Nesan, 41, maut dilanggar pacuan empat roda ketika cuba membantu menukar tayar sebuah MPV yang bocor dalam kejadian di Lebuhraya MRR2 arah ke Sungai Besi, 10.30 malam tadi. FOTO NSTP
Mohd Azam Shah Yaacob


NIAT baik mahu membantu menukar tayar kenderaan yang bocor bertukar tragedi apabila lelaki maut dirempuh pacuan empat roda dalam kejadian di Lebuhraya MRR2 menghala ke Sungai Besi, berhampiran apartment Desa Tun Razak, 10.30 malam tadi.

Mangsa, R Perumal Siva Nesan, 41, yang tercampak hampir 20 meter akibat dilanggar, maut di tempat kejadian akibat parah di badan dan kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, mangsa yang menunggang motosikal bersama rakannya, G Gapalan, berhenti di tepi jalan bagi membantu pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser untuk menukar tayar.

Katanya, ketika kejadian, mangsa berdiri di garisan putus-putus antara lorong kanan dan lorong tengah Lebuhraya MRR2 yang mempunyai tiga lorong bertujuan untuk mengawal lalu lintas sementara rakannya membantu pemandu menukar tayar.

"Bagaimanapun, tiba-tiba mangsa dirempuh pacuan empat roda yang dipercayai tidak menyedari kehadiran mangsa.

"Mangsa tercampak hampir 20 meter dan maut di tempat kejadian akibat parah di badan dan kepala," katanya ketika dihubungi pagi tadi.

Zulkefly berkata, hasil soal siasat mendapati, pemandu pacuan empat roda tidak menyedari kehadiran mangsa sebaliknya beranggapan sudah melanggar besi pembahagi jalan.

Katanya, ini kerana keadaan jalan tidak berlampu dan sangat gelap.

"Siasatan awal juga mendapati mangsa juga tidak mengambil langkah keselamatan ketika mengawal lalu lintas dan kes disiasat mengikut Seksnyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 11:52 AM