ANJING terbiar dan tweet rayuan Nur Ameera. FOTO ihsan Nur Ameera Zainuddin
Siti Khairunnisa Mohamad Nayan

 

 

SIFAT kemanusiaan dan cintakan haiwan membuatkan Nur Ameera Zainuddin memberi makan kepada anjing terbiar berdekatan rumahnya di Sungai Ramal, Kajang, Selangor.

Nur Ameera, 27, berkata, tuan anjing ini dipercayai sudah lama tinggalkan anjingnya, namun mereka mengupah seseorang untuk menjaga anjing berkenaan.

Katanya, sejak tiga minggu lalu kelibat penjaga anjing ini tidak kelihatan dan anjing itu dibiarkan bersendirian di rumah itu.

“Saya kesian melihat anjing itu mengejar kereta yang lalu di depan rumah tuannya sambil menjelirkan lidah seolah-olah dia sangat dahaga dan lapar.

“Anjing itu bukanlah anjing terbiar yang pandai mencari makanan sendiri kerana sejak kecil lagi dia diberi makan penjaganya.

“Pada mulanya saya mengaku memang saya rasa takut untuk mendekatinya kerana risau dia bertindak ganas, namun apabila sudah memberi makannya setiap hari saya semakin berani.

“Namun kini saya risau kerana anjing itu sudah menganggap saya sebagai tuannya dan ingin mendekati saya, tetapi saya menjauhkan diri saya supaya tidak bersentuhan dengannya.

“Saya masih menjaga kebatasan daripada aspek agama dalam memberi makanan kepada anjing itu, malah anjing itu seakan-akan memahami apabila saya menjauhi dia, dia terus berhenti daripada menghampiri saya,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai jurutera awam berkata, sejak kecil keluarga mendedahkannya dengan sifat sayangkan haiwan, malah dia turut membela lima kucing dan ikan di rumahnya.

Katanya, dia sudah bertanya kepada rakannya, namun kebanyakan mereka tinggal di kawasan perumahan yang melarang untuk membela haiwan.

“Saya berharap agar tuan kepada anjing itu atau Kelab Pencinta Haiwan dapat mengambil dan menjaga anjing ini supaya kebajikannya terjaga, malah memberinya tempat tinggal yang selesa,” katanya ketika dihubungi, di Kajang, hari ini.

Semalam, Nor Ameera meminta bantuan mencari pemilik baru bagi anjing itu menerusi laman Twitter miliknya.

“Saya memberi makanan kepadanya setiap jari sejak dua hingga tiga minggu lalu. Saya tak keberatan memberinya makan tetapi dia memerlukan kasih sayang juga,” katanya menerusi twitter.

Sehingga kira-kira 10 malam tadi, tweetnya itu mendapat 800 Retweet dan 233 Likes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 10:31 PM