ARJUNA (kiri) dan Rayyan terbabit dalam program Oh My Family!. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Sudirman Mohd Tahir

Sepanjang lebih lima tahun bergelar ibu tunggal, Rita, 42, mendidik dan membesarkan dua anaknya, Airit Rayyan Rizqin, 9, dan Airit Qaqa Arjuna, 7, sendirian.

Pendek kata, dialah bapa, dia juga ibu.

Melihat anak membesar depan mata membuatkan Rita lebih mengerti setiap keinginan Rayyan dan Arjuna.

Namun, dia sesekali tidak memanjakan anak dengan menurut segala keinginan mereka.

Rita berkata, Rayyan sering menyatakan hasrat untuk berlakon. Namun, Rita bijak memberi alasan yang pelajaran adalah keutamaan.

“Sejak dahulu lagi Rayyan selalu tanya bila dia boleh berlakon. Kadang-kadang saya buat tidak tahu sebab tidak mahu dia merajuk dengan jawapan saya. Namun, apabila dia kerap bertanya perkara sama saya perlu jelaskan kepadanya.

“Kalau boleh saya nak dia habiskan sekolah dan melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi dahulu. Selepas itu, dia boleh buat pilihan sendiri. Pada usia sekarang dia masih kecil. Saya tidak mahu biasakan dia berlakon. Kalau penat, nanti dia ponteng sekolah. Jadi, perlahan-lahan pelajaran terabai.

“Saya bukan halang atau menyekat keinginannya, tetapi sebagai ibu tentu saja inginkan yang terbaik untuk anak. Saya melalui kehidupan sebagai anak seni, jadi saya tahu cabaran yang perlu dihadapi,” katanya.

Menurut Rita, minat berlakon timbul dalam diri anaknya kerana di sekolah mereka didedahkan dengan persembahan teater.

Pada masa sama, Rita turut membawa mereka ke lokasi penggambaran jika cuti sekolah membuatkan perasaan ingin mencuba itu wujud.

“Guru Rayyan berkata, setiap kali ada persembahan pentas, dia mesti ke depan. Mungkin disebabkan itu dia mahu berlakon di kaca TV pula. Malah, kalau kebetulan dia melihat pelakon kanak-kanak di TV, dia pasti bertanya. Sekali lagi saya jelaskan kepadanya.

“Apa saya perasan juga, dia jenis menghayati sesebuah karya. Sebagai contoh, baru-baru ini saya bawa anak pergi menonton filem Lee Chong Wei: Rise Of The Legend. Saya tidak menjangka yang dia boleh menangis,” katanya.

Rita berkata, dua anaknya itu juga suka beraksi depan kamera sama ada membabitkan rakaman program atau menjalani sesi fotografi.


RITA Rudiani. FOTO Khairul Azhar Ahmad

Dedah anak dunia laman sosial

Sama seperti orang lain, Rita juga tidak mahu hipokrit dengan cuba menyekat anaknya daripada memiliki akaun laman sosial.

“Rayyan dan Arjuna baru saja ada akaun Instagram. Setiap kali pulang sekolah, mereka akan cerita yang rakan di sekolah selalu bertanya mengenai akaun Instagram.

“Disebabkan itu, saya wujudkan untuk mereka. Namun, kata kuncinya saya tidak berikan kepada mereka. Segala status yang dimuat naik daripada saya. Cuma, pemilihan gambar saja saya bertanya kepada mereka terlebih dahulu.

“Saya okey dan tidak ada masalah mereka memiliki akaun media sosial, tetapi pada usia sekarang belum masanya mereka diberi kebebasan. Zaman sekarang sukar dijangka. Apa saja kemungkinan boleh berlaku. Selagi boleh dikawal, saya buat sehabis baik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rita bersama dua anaknya itu terbabit dalam program realiti Oh My Family! yang bakal ditayangkan pada 11 April ini di saluran Astro Ria, Ria HD dan Astro Warna.

“Saya bersetuju terbabit dalam program ini kerana ia membabitkan keluarga. Bagi saya, ia masih sesuai dan tidak memerlukan waktu panjang untuk menjalani penggambaran.

“Jadualnya juga tidak mengganggu waktu persekolahan mereka. Program ini menguji kecekapan Rayyan dan Arjuna melakukan setiap cabaran diberikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 3:19 AM