ELISYA Sandha. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Syafil Syazwan Jefri


Menjadi adik kepada pelakon popular Fasha Sandha tidak membuatkan Elisya Sandha memilih jalan mudah bagi mencapai cita-citanya dalam bidang sama.

Perlahan-lahan Elisya membuktikan kemampuannya dalam bidang lakonan dan lebih selesa berdikari.

“Tak dinafikan masih ada pihak menganggap saya sekadar menumpang populariti kakak. Namun, saya biarkan saja dan terus menunjukkan bakat dalam bidang lakonan,” katanya.

Walaupun baru berusia 19 tahun, gadis manis ini bijak mengatur kata-kata dalam menjawab setiap pertanyaan diajukan kepadanya.

“Saya dapat rasakan sendiri susah senang menjadi anak seni. Ini kerana saya sendiri mencari ruang untuk sesi uji bakat drama atau iklan.

“Saya berterus terang kepada pihak produksi yang menganjurkan sesi uji bakat untuk memilih saya berdasarkan bakat. Kalau sebaliknya, tidak mengapa.

“Alhamdulillah, perlahan-lahan ramai yang mula nampak dan tidak memilih saya hanya kerana saya adik kepada Fasha,” katanya.

Dua tahun melangkah dalam industri hiburan memberi peluang kepadanya untuk mencari pelbagai ilmu baru.

“Saya tidak terburu-buru mengejar cita-cita, sebaliknya melangkah setapak demi setapak. Saya ambil peluang yang ada dan cuba berikan yang terbaik.

“Kadang-kadang saya rasa saya tak mampu menjayakan sesuatu watak yang diberi, namun tidak pernah berputus asa kerana lakonan adalah minat saya,” katanya.

Elisya juga berterima kasih kepada Fasha yang lebih berpengalaman dalam bidang ini kerana memberikan banyak ilmu lakonan kepadanya.

“Pada awalnya, dia tak menggalakkan sangat, tapi saya meyakinkannya ini adalah minat saya dan serius menjadi pelakon.

“Sekarang pun, jika ditawarkan watak yang berat, dia akan memberikan beberapa cadangan, tapi dia akan minta saya kembangkan sendiri idea itu,” katanya.

Ditanya mengenai cara kakaknya ketika memberi tunjuk ajar kepadanya, Elisya mengakui Fasha seorang yang garang.

“Memang dia garang, tapi tidak terlalu cerewet. Kadang-kadang dia boleh menjadi kakak yang sangat ‘sweet’. Kalau saya lakukan sesuatu dengan betul, buat apa dia nak marah-marah?,” katanya.


ELISYA Sandha. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Fasha cukup dikenali sebagai pelakon yang berdisiplin dan sentiasa menepati masa. Jadi, adalah menjadi tanggungjawab Elisya untuk menjaga nama baik kakaknya.

“Saya tahu dia cukup dikenali sebagai artis yang berdisiplin dan menghormati masa. Kalau saya melanggar disiplin, nama dia juga akan turut tercemar.

“Disebabkan itu, saya perlu sentiasa menjaga perlakuan dan sikap saya bagi menjaga nama baiknya.

“Setakat ini saya bersyukur kerana belum ada komen negatif daripada pihak produksi mengenai pengurusan masa saya,” katanya.

Tolak kontroversi

Sebagai pelakon baru, Elisya tidak menolak sekiranya kontroversi menjadi rencah dalam perjalanan seni seseorang anak seni.

Namun, dia seboleh-bolehnya mengelak terbabit dalam sebarang kontroversi.

“Sesetengah orang menggunakan kontroversi untuk meraih populariti dan menjadi tular. Namun, saya tak akan mencari kontroversi.

“Saya nak orang melihat bakat saya dan kenal saya menerusi lakonan. Itu sudah memadai,” katanya.

Ditanya mengenai ura-ura mengatakan dia berhubungan dengan anak seorang pengarah dan penerbit popular, Elisya menjelaskan hanya teman rapatnya.

“Saya dan dia kawan baik. Saya jarang berkawan rapat dengan lelaki, jadi mungkin ramai yang salah faham. Saya jelaskan di sini kami bukanlah bercinta.

“Saya selesa berkongsi banyak perkara dengannya dan selalu juga lepak bersama. Lagipun, dia pun memang bekerja dalam industri hiburan,” katanya.

Terbaru, telefilem lakonannya berjudul Check In akan ditayangkan di saluran ntv7 pada 1 April ini.

Turut berlakon ialah Azrel Ismail, Datin Maria Farida dan Zainal MacWilson.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 3:48 AM