AKSI Shahrom ketika mewakili Selangor pada 2016. FOTO Hasriyasyah Sabudin.
Saiful Affendy Sapran

Melihat aksi lincah Muhammad Shahrom Abdul Kalam di atas padang baik di saingan Liga Malaysia atau ketika bersama skuad kebangsaan, pasti ramai beranggapan kehidupannya hanya dikelilingi kisah bola sepak.

Namun siapa sangka, bekas kapten Selangor yang menjuarai Piala Malaysia 2015 itu ada bakat sebagai peniaga dan lebih menarik, perniagaan yang diceburinya amat unik - menjual makanan popular masyarakat Cina, dim sum!.

Memulakan cerita, Shahrom berkata, idea untuk menjual dim sum datang daripada ayahnya, Abdul Kalam Suhaimi.

“Dulu ayah menjalankan perniagaan dim sum dengan menjadi rakan perniagaan kepada rakannya yang juga cef berbangsa Cina.

“Bagi saya, perniagaan membabitkan makanan lebih mendapat sambutan. Makanan yang sedap dan berkualiti pasti dapat menarik perhatian. Saya mula menjalankan perniagaan ini pada 2008,” katanya.

Bercerita lanjut, Shahrom mengakui perniagaan dim sum yang diusahakannya ketika ini mempunyai keistimewaan tersendiri terutama dijamin 100 peratus halal.

SHAHROM (dua dari kanan) memantau pekerjanya membuat dim sum.

“Ayah sendiri yang memohon sijil halal untuk lebih 20 jenis dim sum dan kami memperbaharui sijil halal setiap dua tahun. Kita jarang jumpa dim sum yang halal kerana kebiasaannya ia dipelopori oleh kaum Cina.

“Sebab itulah saya menceburkan diri dalam bidang ini untuk memperkenalkan dim sum kepada pasaran orang Islam. Kualiti dim sum kami setaraf dengan restoran, malah dim sum kami lebih murah daripada restoran dan anda boleh nikmati di rumah pada bila-bila masa,” katanya.

Bagaimana dengan soal harga?

Shahrom memberi jaminan harga yang ditawarkan amat berpatutan.

“Dim sum kami bermula daripada harga RM18 sehingga RM30. Harga untuk luar Lembah Klang berlainan sikit kerana ada caj penghantaran. Kami mempunyai lebih daripada 20 jenis dim sum, antaranya Phoenix Eye Dumpling, Prawn Dumpling, Jade Dumpling, Delima Ball, Shee Mei Dumpling dan Shanghai Dumpling.

“Dim sum juga lebih dikenali sebagai makanan yang dikukus tetapi kami juga mempunyai dim sum yang boleh digoreng,” katanya.

SHAHROM menghantar dim sum yang ditempah pemain bola sepak negara.

Shahrom yang kini beraksi bersama Felcra FC di saingan Liga Perdana mengakui seronok berniaga selain tugas hakikinya selaku pemain bola sepak profesional.

“Memang seronok melakukan perniagaan ini lebih-lebih lagi Rasulullah sendiri menyeru supaya kita berdagang. Walaupun penat dengan jadual harian sebagai pemain bola, saya seronok dan berpuas hati hasil daripada perniagaan kecil ini kerana saya sendiri yang melakukan penghantaran bersama isteri dan ahli keluarga lain.

“Saya memang bercadang untuk teruskan perniagaan ini selepas bersara nanti,” katanya.

Shahrom mengakui perniagaannya mendapat sokongan padu ‘keluarga’ bola sepak tanah air.

“Ramai yang ambil tempahan adalah dalam kalangan pemain bola yang juga rakan-rakan saya. Antara mereka adalah Azmi Muslim, Hazwan Bakri, Andik Vermasyah dan Farizal Marlias,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 3:55 AM