FASHA mahu utama kualiti kembang kerjaya ke tahap lebih tinggi.
FASHA mahu utama kualiti kembang kerjaya ke tahap lebih tinggi.
Rudy Imran Shamsudin
Imran@hmetro.com.my


Menginjak usia 34 tahun Rabu lalu (28 Mac) membawa makna besar dalam hidup pelakon popular Fasha Sandha.

Bintang yang dilahirkan di Johor Bahru itu berasakan dirinya lebih matang terutama dalam menilai hari-hari bakal dilalui masa akan datang.

Fasha yang ditemui baru-baru ini berkata, pada usia sekarang dia lebih mengutamakan kualiti berbanding kuantiti.

“Kawan misalnya, yang rapat hanya sebilangan kecil. Saya tahu mereka inilah yang akan ada bersama saya ketika susah senang,” katanya.

Fasha turut meletakkan keluarganya sebagai keutamaan selain mengembangkan lagi kerjaya seni ke tahap lebih tinggi.

“Karier saya berkembang setapak lagi apabila bergelar penerbit. Menerusi produksi FS Creative Sdn Bhd, saya menghasilkan sitkom Mamu Mami Gosip sebanyak 50 episod untuk RTM.

“Pada usia sekarang saya tidak mahu lagi memikirkan perkara remeh-temeh kerana banyak lagi hal lebih besar perlu diberi perhatian untuk masa depan yang lebih baik,” katanya.

Menurutnya, dia tidak mahu ulang tahun kelahirannya disambut besar-besar kerana zaman untuk dia melakukan perkara seperti tu sudah berlalu.

“Tahun lalu, saya mengadakan sambutan ulang tahun kelahiran kerana pihak pengurusan menyarankannya memandangkan sudah lapan tahun saya tidak pernah meraikan hari jadi.

“Bagaimanapun tahun ini kalau ada pun sambutan, saya harapkan ia berlangsung secara sederhana,” katanya.

Namun, disebabkan statusnya sebagai artis popular, apa yang diharapkan tidak berlaku.

Malam tiga hari sebelum ulang tahun kelahirannya, Fasha menerima kejutan daripada kelab kelab peminatnya, We Love Fasha Sandha (WLFS).

Teman artis pelakon Aidil Aziz bersama pengurusnya turut merancang kejutan buat Fasha di salah sebuah hotel di Ibu Kota yang turut dihadiri keluarganya.

Boleh dikatakan sepanjang minggu ini Fasha sibuk memenuhi jemputan kerana ada sahaja pihak yang meraikan sambutan hari jadinya.

“Saya terharu dengan segala usaha dan kejutan yang dilakukan mereka. Padahal dari awal lagi saya sudah katakan pada diri tahun ini tidak mahu ada sebarang majlis hari jadi.

“Kalau ada yang mahu raikan, cukup hanya dengan keluar makan tetapi tak sangka mereka melakukan sebaliknya.

“Saya bersyukur dan berterima kasih atas usaha mereka. Meraikan pun, saya mengharapkan hanya sekadar keluar makan.

“Tetapi tidak sangka mereka melakukannya dengan cara sebaliknya. Saya bersyukur dan berterima kasih dengan kasih sayang yang dicurahkan keluarga dan teman-teman rapat.

“Alhamdulillah, bagi saya itu jauh lebih berharga,” katanya.

Ditanya mungkinkah angka 34 ini membawa tuah dan dia bakal mengakhiri zaman solonya, aktres yang mula dikenali menerusi filem Anak Halal dan Cicakman itu berkata belum ada perancangan ke arah itu.

“Macam mana saya mahu bernikah kalau calon suami pun belum ada. Dalam situasi dan usia sekarang, soal berkahwin bukan keutamaan. Saya tidak mahu terlalu memikirkan perkara ini.

“Setakat ini saya bersyukur dan gembira dengan hidup saya. Hendak kata sunyi, tidak juga kerana anak-anak, keluarga dan teman-teman sentiasa ada bersama sama.

“Soal jodoh saya serahkan sepenuhnya kepada Allah kerana dia Maha Mengetahui dan menentukan perjalanan hidup saya.

“Saya tidak berani komen banyak mengenai perkara ini.

“Takut saya kata tidak ada tetapi apabila ditemukan jodoh tiba-tiba berkahwin pula. Apapun, buat masa ini saya mahu fokus pada perniagaan salun, syarikat produksi dan memantapkan lagi karier lakonan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 6:00 AM