EXCHANGE 106. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Hazwan Faisal Mohamad dan Nabil Basaruddin
bhbiz@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Program Transformasi Nasional (NTP) terus membina daya tahan ekonomi Malaysia melalui usaha mempelbagaikan ekonomi yang diterajui 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), demikian menurut Laporan Tahunan NTP 2017.

Laporan itu menjelaskan pada tahun lalu hasil negara daripada NKEA mewakili 75 peratus Pendapatan Negara Kasar (PNK) yang berjumlah RM1.316 trilion pada harga semasa.

Menurut laporan itu, kepelbagaian ekonomi melalui NKEA juga dapat dilihat melalui pengurangan kebergantungan kepada sektor minyak dan gas sebagai sumber pendapatan kerajaan dan pada masa sama meningkatkan sumbangan daripada sektor utama lain.

“Pada 2017, pendapatan hasil sektor minyak dan gas mewakili 15 peratus hasil kerajaan dan ini menunjukkan pengurangan yang ketara berbanding 41 peratus pada tahun 2009.

“Hasil daripada usaha mengoptimumkan sumber pendapatan, pendapatan kerajaan meningkat daripada RM185 bilion pada 2011 kepada RM225 bilion pada 2017 dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak tiga peratus dalam tempoh berkenaan,” kata laporan itu.

Secara keseluruhannya, NTP berjaya menambah baik daya saing global negara apabila Malaysia melonjak dari tangga ke-25 pada 2016 ke tangga ke-23 pada 2017 dalam Indeks Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia.

“Pencapaian ini meletakkan kita antara negara yang teratas di rantau Asia. Dari segi kemudahan untuk menjalankan perniagaan, Malaysia menduduki tempat ke-24 daripada 190 negara menerusi Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2018 yang mana kita adalah negara kedua teratas dalam kalangan negara ASEAN dan keempat terbaik di Asia Pasifik.

“Hal ini jelas dengan termeterainya pelaburan yang dibuat oleh beberapa syarikat ternama dunia, antaranya termasuk syarikat ternama dalam industri semikonduktor, Broadcom Limited yang memindahkan Hab Pengedaran Globalnya dari Singapura ke Malaysia pada tahun lalu.

“Begitu juga dengan Huawei, penyedia penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi global (ICT) yang menjadikan Malaysia sebagai ibu pejabat operasi serantau pada tahun lalu manakala konglomerat e-dagang China Alibaba Group menubuhkan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) di Sepang,” tambah laporan itu.

Menyentuh mengenai DFTZ, inisiatif yang pertama seumpamanya di dunia yang dilancarkan pada Mac 2017 itu meningkatkan pertumbuhan e-dagang Malaysia dan meletakkan negara sebagai hab serantau untuk inovasi berasaskan Internet.

DFTZ bakal menyediakan zon fizikal dan maya untuk memudahkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memanfaatkan perkembangan ekonomi digital dan aktiviti e-dagang merentasi sempadan.

“Zon fizikal ini merangkumi e-Fulfilment Hub dan Satellite Services Hub, manakala zon maya meliputi e-Services Platform.

“Zon berkenaan akan ditempatkan di KLIA Aeropolis, sebuah pembangunan seluas 24,700 ekar yang akan dibangunkan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang dijangka akan menjana pelaburan domestik dan asing bernilai lebih RM7 bilion.

“DFTZ menetapkan sasaran bagi tahun 2025 untuk menggandakan kadar pertumbuhan eksport barangan PKS kepada AS$38 bilion, mencipta 60,000 peluang pekerjaan dan memudahcara perdagangan barangan bernilai AS$65 bilion,” jelas laporan itu lagi.

Dari segi sumbangan NKEA kepada PNK negara, sektor minyak, gas dan tenaga muncul penyumbang tertinggi sebanyak RM203.5 bilion.

Inisiatif utama di bawah NKEA adalah Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang yang berjaya menarik pelaburan yang tinggi antaranya daripada Saudi Aramco, syarikat gergasi minyak yang komited untuk melabur sebanyak AS$7 bilion untuk memperoleh kepentingan sebanyak 50 peratus dalam Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Petronas pada tahun lalu.

Malaysia kuasai 30% pasaran global aset syariah

Sektor pemborongan dan peruncitan turut menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi tahun lalu dengan sumbangan Pendapatan Negara Kasar (PNK) sebanyak RM201.9 bilion.

“Usaha berterusan dalam memodenkan dan merevolusikan sektor ini berjaya meningkatkan tahap kepercayaan pengguna kepada 76.6 peratus menurut Global Consumer Confidence Trend Tracker oleh Nielsen.

“Malaysia turut mempertahankan kedudukan ketiga dalam Global Retail Development Index oleh AT Kearney selama dua tahun berturut-turut,” katanya.

Dalam sektor perkhidmatan kewangan negara, sehingga tahun 2017, nilai modal, pasaran ekuiti dan hutang masing-masing berjumlah RM3.2 trilion, RM1.9 trilion dan RM1.3 trilion manakala aset di bawah pengurusan (AUM) berjumlah RM776.2 bilion.

Tambahan lagi, Malaysia menguasai 30 peratus daripada jumlah nilai pasaran global aset syariah dan juga adalah peneraju terbitan sukuk di peringkat antarabangsa.

Malaysia juga berjaya mengekalkan daya tarikannya sebagai destinasi pendidikan bertaraf dunia dengan peningkatan jumlah pelajar kepada 170,068 pendaftaran dalam institusi pengajian tinggi pada tahun 2017 berbanding 70,000 orang pada 2010.

Pencapaian ini adalah hasil peningkatan usaha pemasaran oleh sektor swasta dan kerajaan, kehadiran jenama pendidikan bertaraf dunia di Malaysia, serta tawaran pelbagai jurusan dan disiplin yang berjaya menarik lebih ramai pelajar antarabangsa untuk meneruskan pendidikan di Malaysia.


NEGARA berjaya mengekalkan daya tarikan sebagai destinasi pendidikan bertaraf dunia. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam

Perolehan pelancongan cecah RM81 bilion pada 2017

Sektor pelancongan terus mencapai sasaran 36 juta ketibaan pelancong setahun dan sumbangan Pendapatan Negara Kasar (PNK) sebanyak RM104 bilion pada tahun 2020 dengan ketibaan pelancong seramai 25.7 juta pada 2017.

Ia adalah susulan pelancaran kemudahan e-Visa bagi pelancong dari 10 negara, antaranya China, India dan Bhutan.

Perolehan pelancongan mencapai RM81.4 bilion pada 2017 dan sejak 2011, sektor itu menyumbang sebanyak RM81.1 bilion kepada PNK negara.

Semua ini dicapai dengan usaha Malaysia untuk memantapkan tawaran dan tarikan pelancongan, lantas menjadikan negara ini salah satu daripada 17 destinasi yang mesti dilawati pada tahun 2017 oleh CNN Travel.

Ipoh, Perak disenaraikan oleh Lonely Planet sebagai antara 10 bandar percutian terbaik pada 2017 dan Kuala Lumpur turut dinamakan sebagai antara 10 bandar terbaik di dunia dari aspek pertumbuhan pelancongan oleh World Travel and Tourism Council (WTTC).

Dekan Fakulti Hospitaliti dan Pengurusan Pelancongan UCSI University, Profesor Dr Kashif Hussain berkata, Malaysia memperoleh lebih RM100 bilion dalam perolehan pelancongan dan ia dijangka meningkat ke RM168 bilion menjelang tahun 2020 dan RM295 bilion pada 2027.

“Pada 2016, industri hospitaliti menyokong 639,500 pekerjaan secara langsung dan 1,700,500 pekerjaan secara tidak langsung mewakili 12 peratus daripada jumlah pekerjaan dalam negara.

“Menjelang 2027, industri ini akan menyumbang secara langsung kepada penggajian 956,000 individu (5.4 peratus jumlah pekerjaan) dan secara tidak langsung menyokong 2,564,000 pekerjaan (14.5 peratus jumlah pekerjaan),” katanya.

Sebagai salah satu inisiatif di bawah NTP untuk membangunkan kluster hospitaliti dan pelancongan, Malaysia Centre for Tourism and Hospitality Education (MyCenTHE) dilancarkan pada 2010 bagi melengkapkan industri pelancongan dan hospitaliti negara dengan sumber manusia berkualiti.

Objektif utama adalah untuk meningkatkan pengeluaran tahunan kakitangan pelancongan dan hospitaliti ke 50,000 menjelang tahun 2020 serta meningkatkan jumlah pemegang diploma dan ijazah dalam industri ini ke 50 peratus.

Syarikat pembangunan hartanah, Leadmont Group mengambil kesempatan menerokai industri tempat peranginan untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat bagi penjagaan kesihatan dan perubatan yang berkualiti.

Pengurus Jualan dan Pemasarannya, Brendan Soh berkata, Zen5es Wellness Resort yang dibangunkannya ialah bandar resort sejahtera sehenti bersepadu.

“Terletak hanya lima minit dari Iskandar City, Zen5es Wellness Resort dapat memanfaatkan reputasi Malaysia sebagai destinasi penjagaan kesihatan dan perubatan yang berpatutan serta lokasi strategik untuk menetap selepas bersara,” katanya.

Tempat peranginan dijangka menarik minat rakyat, komuniti ekspatriat dan pelancong perubatan serantau serta antarabangsa kerana berhampiran dengan Singapura dan Indonesia, hubungan ke pelbagai hab pengangkutan besar serta kadar tukaran mata wang yang murah.

Pada 2016, industri pelancongan perubatan di Malaysia menjana hasil melebihi RM1 bilion daripada satu juta pelancong penjagaan kesihatan.


MALAYSIA ditawarkan sebagai satu daripada 17 destinasi yang mesti dilawati pada tahun 2017 oleh CNN Travel. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 8:06 AM