HANNAH Delisha. FOTO Hafiz Sohaimi
Norhayati Nordin

Walaupun tidak dikaitkan dengan gosip cinta, pelakon dan penyanyi jelita dari Singapura, Hannah Delisha, 22, tetap tidak dapat mengelak dikaitkan dengan cerita sensasi.

Hannah yang baru setahun mencuba nasib membina kerjaya seni di negara ini masih dikaitkan dengan dakwaan meletak harga tinggi untuk sebarang tawaran berlakon.

Namun, pelakon yang meraih populariti menerusi drama Mencintaimu Mr Photografer bersama Syafiq Kyle ini menafikannya.

Menurut pemilik nama sebenar Hannah Adlina Blackburne ini, dakwaan syarikat pengurusan bakatnya di sini meletak harga tinggi untuk lakonannya adalah tidak benar.

“Siapalah saya dan pihak pengurusan memandai-mandai meletak harga tinggi. Sebagai bakat baru dan masih kurang pengalaman, saya sangat mengharapkan tawaran.

“Jadi, takkan saya nak letak harga tinggi yang secara tidak langsung boleh menutup peluang saya. Saya sama sekali tidak akan melakukannya.

“Lagipun, setahu saya perkara membabitkan isu bayaran yang pernah ditimbul sebelum ini sudah diselesaikan secara baik dan berhemah oleh pihak pengurusan dengan syarikat produksi itu.

“Saya rasa apabila sudah selesai, tidak perlu lagi isu bayaran ini dibangkitkan. Terus terang, saya minta dan berharap ia dapat dihentikan,” katanya.

Hannah berkata, mengikut perancangan sudah diatur dia akan terus bekerjasama dengan syarikat produksi terbabit untuk projek lakonan terbaru.

Hannah berkata, dia juga mempunyai permit kerja yang sah di negara ini.

“Semua urusan berkaitan permit itu sudah diurus syarikat pengurusan saya lebih awal. Kami tidak mahu timbul masalah jika tidak dibuat mengikut prosedur yang betul,” katanya.

Menurut Hannah, kerjayanya lebih banyak berpusat di Kuala Lumpur sepanjang tahun ini.

“Syukur bakat lakonan saya diterima baik termasuk nyanyian. Oleh itu, ia menjadi pemangkin semangat untuk saya terus berusaha.

“Walaupun kerjaya seni saya semakin stabil di Malaysia, tetapi dari aspek nama belum lagi kukuh. Masih banyak perlu diperbaiki dan saya tidak boleh berasa cepat selesa,” katanya.

Sehubungan itu, Hannah akan muncul dengan filem sulung lakonannya, Langsuir arahan Osman Ali selain sibuk menyiapkan beberapa projek drama baru.

Antaranya, Hannah akan berganding dengan Aiman Hakim Ridza untuk dua drama iaitu telenovela adaptasi daripada drama popular Korea, Full House dan Cruise Cinta Lebaran.


HANNAH Delisha. FOTO Hafiz Sohaimi

Peluang berlakon dengan Aaron

Selepas Syafiq dan Aiman, Hannah juga berpeluang berlakon di samping pelakon popular kelahiran Singapura, Datuk Aaron Aziz.

Mereka dijangka bekerjasama membintangi drama adaptasi novel karya asal tulisan Melur Jelita berjudul I Love You Stupid.

Berbicara mengenai gandingan dengan Aaron, gadis jelita ini memberitahu dia gementar.

Katanya, Aaron seorang pelakon ternama dan banyak pengalaman.

“Saya tidak pasti bila kami akan masuk ke set penggambaran drama ini kerana jadual yang agak padat. Rasanya, masih dalam perbincangan.

“Cuma, sekarang saya dalam persediaan untuk memulakan penggambaran drama telenovela Full House bersama Aiman dahulu yang dijadualkan bermula April ini.

“Bagaimanapun, saya sudah mendapat skrip dan plot jalan cerita untuk drama adaptasi Full House ini dan memang sangat menarik.

“Saya akan memastikan dapat menzahirkan lakonan yang baik dan mantap dalam drama ini. Saya yakin peminat drama siri Full House yang asal juga teruja,” katanya.

Hannah yang muncul dengan empat single sebagai penyanyi berkata, apa yang pasti karier lakonan dan nyanyiannya kini dilihat bergerak seiring.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 8:48 AM