DINESVARAN atau Duke (kanan) beraksi dalam satu perlawanan dalam liga ragbi di Jepun.
Kalidevi Mogan Kumarappa


MESKIPUN berada di bandar Shizuoka, Jepun beribu-ribu kilometer dari kampung halamannya di Sungai Petani, Kedah, namun jiwanya sentiasa berada di negara ini.

Itu yang diluahkan K Dinesvaran atau lebih mesra dikenali sebagai ‘Duke’, atlit sukan ragbi Malaysia yang kini bermain untuk pasukan Yamaha Jubilo di Jepun.

Dinesvaran yang beraksi di Liga Tertinggi ragbi Jepun adalah rakyat Malaysia kedua yang bermain di luar negara selepas Marc Le yang pernah bermain di liga ragbi profesional di luar negara.

Malah, Le yang memperkenalkan Dinesvaran kepada ejennya di Jepun bagi menyusun jalan lelaki muda itu dalam arena ragbi antarabangsa.

Meskipun namanya bersinar di negara matahari terbit itu, namun tidak ramai yang mengenalinya terutama yang memilih kerjaya mereka sebagai pemain ragbi profesional.

Dinesvaran yang pernah bermain untuk pasukan ragbi kebangsaan bawah 20 tahun dan menghabiskan tujuh tahun sebagai sebahagian daripada ahli Persatuan Gabungan Bekas Pemain Ragbi, namun pencapaiannya itu tidak dapat menarik perhatian kelab antarabangsa sehingga ejen menunjukkan persembahannya kepada Yamaha Jubilo pada 2013.

“Karier saya bersama kelab Jepun itu bermula 2013 dan saya berbangga kerana berada bersama ‘Team of the Season’ di Jepun itu pada zaman kegemilangannya pada 2015.

“Seterusnya, kami dapat memasuki pusingan akhir Liga Utama Jepun selain memenangi Kejohanan Ragbi Seluruh Jepun selepas 54 tahun,” katanya kepada Harian Metro.

Walaupun berjaya di arena antarabangsa, Dinesvaran tidak pernah melupakan Malaysia.

“Bagi setiap pemain ragbi atau atlet, tidak kira sejauh mana anda pergi ke kelab antarabangsa. Ia sentiasa menjadi kebanggaan apabila anda pulang ke rumah dan bermain untuk pasukan kebangsaan.

“Bagi saya, bermain untuk pasukan kebangsaan seperti melayani negara saya kerana ia adalah panggilan dan tugas untuk Malaysia,” katanya.

Dinesvaran yang mempunyai ketinggian 198 sentimeter itu berkata, keluarganya pada awalnya tidak menyokong minatnya untuk menyertai Yamaha Jubilo.

Selepas tamat pengajian di sekolah menengah pada 2007, dia menyertai Bukit Mertajam Rhinos untuk bermain ragbi.

“Ibu bapa terutamanya meminta saya mendapatkan pekerjaan yang lebih serius dan bukannya terus bermain seperti kanak-kanak.

“Bagaimanapun, akhirnya dengan berkat usaha dan restu mereka, saya berlepas ke Jepun,” katanya.

Walaupun pada awalnya bergelut dengan kerinduan dan kesukaran menyesuaikan diri dengan budaya baru, baik di lapangan dan di luar, Dinesvaran sudah bertahan di negara itu hingga hari ini.

“Saya yang akan genap berusia 30 tahun pada Mei ini dan merancang untuk bersara dalam masa tiga atau empat tahun akan datang.

“Selepas itu, semestinya saya akan menabur bakti semula kepada negara dalam aspek lain tetapi masih dalam sukan ragbi,” katanya yang merahsiakan perancangan masa depannya itu.

Katanya, dia yang percaya kepada kebolehan pasukan ragbi kebangsaan turut menasihati semua pemain agar jangan terlalu memikirkan atau memandang tinggi status lawan.

“Jangan tetapkan mentaliti kita tidak boleh tewaskan contohnya, Afrika Selatan kerana apa yang mereka perlu lakukan cuma masuk ke padang, bermain dengan baik dan magis akan berlaku.

“Saya percaya jika skuad kebangsaan mampu mempamerkan aksi lebih cemerlang berbanding Sukan Komanwel Glasgow 2014 maka ia akan membuka mata penaja untuk tampil memberi sokongan kepada sukan ragbi di negara," katanya ketika ditemui sebelum kembali ke Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 11:23 PM