GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan


AKIBAT gagal menahan marah, lelaki dibelasah sekumpulan lelaki selepas mangsa dipercayai memukul rakan penyerangnya dengan batu dalam kejadian di Banting, semalam.

Sebelum itu, penunggang motosikal, 20-an dikatakan terbabit dalam kemalangan kecil dengan kereta dipandu lelaki, 31.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman berkata, pergaduhan berlaku pada 1.30 tengah hari di hadapan sebuah sekolah menengah.

“Ketika sedang berbincang, berlaku perselisihan faham antara rakan pemandu kereta berkenaan dengan penunggang motosikal terbabit.

“Penunggang motosikal itu kemudian dipercayai mengambil sebiji batu bata dan memukul kepala pemandu kereta berkenaan sebelum melarikan diri ke dalam kawasan sekolah terbabit.

“Berang dengan tindakan lelaki itu, rakan pemandu kereta berkenaan serta beberapa lagi individu mengejar lelaki terbabit dan lalu memukulnya dengan menggunakan topi keledar, kayu dan batu," katanya ketika dihubungi.

Azizan berkata, pergaduhan itu turut disaksikan oleh beberapa orang awam yang meleraikan mereka sebelum menghubungi polis.

Katanya, polis menahan dua lelaki termasuk pemandu kereta dan sedang mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu.

“Pemandu kereta terbabit menerima sembilan jahitan di kepala, manakala penunggang motosikal dan beberapa lelaki lain masih diburu.

“Kami sudah menahan dua lelaki berusia 31 tahun dan 25 tahun yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau mengenali suspek diminta tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Pergaduhan berkenaan turut dirakam dan dimuat naik ke media sosial sebelum tular.

Rakaman video berdurasi 46 saat itu menunjukkan beberapa individu lelaki mengejar seorang lelaki sehingga ke tengah padang sebelum membelasahnya dengan objek yang dipercayai topi keledar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 1:15 AM