DARI kiri, Ustaz Kazim, Hizbur Rahman dan Dr Mohd Izhar. FOTO NSTP
DARI kiri, Ustaz Kazim, Hizbur Rahman dan Dr Mohd Izhar. FOTO NSTP
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Populariti individu bergelar ustaz selebriti sama naik dengan artis apabila sering menjadi rujukan pelbagai pihak dan masyarakat untuk mendapatkan pencerahan membabitkan hukum agama.

Mereka bukan saja menjadi perhatian dalam program ceramah agama, malah turut didekati peminat pelbagai latar belakang serta tidak terlepas daripada menjadi mangsa gangguan pihak tidak bertanggungjawab apabila dihantar mesej peribadi, gambar lucah dan kurang menyenangkan.

Antara menjaga hukum dan batas pergaulan serta imej, penceramah dan pendakwah pada masa kini berdepan cabaran melayani kerenah peminat supaya tidak timbul fitnah.

Penceramah terkenal, Datuk Ustaz Kazim Elias mengakui tidak boleh lari daripada peminat sampai ke satu tahap dia terpaksa memakai penutup mulut dan serban bagi mengelak dikenali peminat ketika berada di luar.

“Saya terbabit dalam bidang ini sejak 1990 lagi, dulu rancak, sekarang saya mengaku sudah penat. Kadangkala baru satu suap hendak makan, orang sudah kerumun, sebab itu saya upah dua pengawal peribadi untuk mengawal keadaan.

“Saya bukan kata gangguan tetapi privasi saya sudah tidak ada. Kadangkala apabila keluar bercuti, tidak kira Cina, India dan Melayu, semua nak swafoto.

“Saya ke tandas, orang sudah tunggu hendak bergambar, cop pasport pun ada kakitangan sanggup tutup kaunter sekejap semata-mata mahu bergambar dengan saya, sama juga apabila mendarat di lapangan terbang, juruterbang sudah menunggu untuk swafoto.

“Sekarang kalau ke mana-mana, saya lebih selesa pakai penutup mulut dan serban untuk elak diri dikenali orang. Jika singgah makan di mana-mana, saya akan minta pembantu saya belikan dan makan dalam kereta,” katanya.

Menurutnya, jika dijemput memberikan ceramah, dia akan cuba tidak melalui laluan utama untuk orang kenamaan bagi mengelak diri dikerumuni.

“Saya selesa menggunakan laluan lain, orang akan sedar apabila saya tiba-tiba muncul atas pentas berikan ceramah.

“Bukan kata saya sombong atau sengaja mahu mengelak peminat tetapi ada masanya saya tidak selesa dan sejak diserang masalah jantung, saya kerap tidak sihat dan tidak boleh berdiri lama kerana kaki kiri tidak kuat macam dulu lagi.

“Sebab itu sekarang, mana sempat saya layan tetapi ambil gambar secara duduk saja dan ada batasannya termasuk mengelak bergambar berdua dengan peminat wanita serta ada jarak tertentu bagi mengelak fitnah,” katanya.

USTAZ Kazim bersama peminat yang datang mendengar ceramahnya  pada  Julai 2013  di Menara Alor Setar, Kedah. FOTO NSTP
USTAZ Kazim bersama peminat yang datang mendengar ceramahnya pada Julai 2013 di Menara Alor Setar, Kedah. FOTO NSTP

Ketua Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, pembabitan dakwahnya dalam program televisyen dan YouTube menjadikan popularitinya meningkat naik hingga meraih 500,000 pengikut Facebook (FB) dan 230,000 pengikut dalam laman Instagram (IG).

“Kita tidak boleh nilai orang yang sering tanya soalan itu bermasalah. Apabila ada ruang bertanya, mereka pasti tidak akan lepaskan peluang bertanya. Kita sebagai pendakwah atau penceramah perlu ambil perhatian bukan semua soalan perlu dijawab,” katanya.

Menurutnya, dia mengamalkan pendekatan berhati-hati ketika melayani setiap pertanyaan pengikutnya kerana tidak mahu terheret dalam fitnah dan setiap pergerakannya diawasi pembantu khas.

“Setiap hari saya menerima antara 100 hingga 200 mesej sama ada dalam FB atau IG. Macam-macam soalan akan masuk tetapi saya hanya akan membalas soalan yang mudah atau kepakaran saya dalam hukum fatwa.

“Jika soalan itu bersifat terperinci atau boleh mendatangkan fitnah seperti meminta saya menerangkan sesuatu perkara hingga melangkaui bidang kuasa hakim mahkamah syariah atau sivil, saya tidak akan jawab.

“Saya juga akui memang pernah menerima gambar lucah sama ada daripada wanita, lelaki mahupun mak nyah tetapi semuanya diabaikan,” katanya.

DR Mohd Izhar amal pendekatan berhati-hati ketika melayani setiap pertanyaan pengikut. FOTO NSTP
DR Mohd Izhar amal pendekatan berhati-hati ketika melayani setiap pertanyaan pengikut. FOTO NSTP

Sementara itu, Imam Muda Hizbur Rahman Omar Zuhdi mengakui hanya melayan pertanyaan daripada peminat sama ada melalui FB, IG mahupun WhatsApp sekadar yang mampu saja.

“Zaman serba canggih memang memberikan manfaat kepada ummah tetapi sebagai pendakwah atau ustaz yang terbabit dalam dunia glamor ini, kita perlu ada had batasan kerana kalau terlebih memudaratkan diri sendiri.

“Oleh itu, saya hanya menjawab soalan apa yang ditanya saja dan sekadar termampu tanpa berlebihan, bimbang berubah kepada peribadi dan lama-kelamaan terjebak masalah.

“Saya tengok juga jika ayat itu berbaur peribadi, memang kadangkala saya menerima mesej memberikan bayangan orang itu suka dekat saya, tetapi saya ambil pendekatan selamat tidak balas langsung mesej itu,” katanya.

Menurutnya, jika ada peminat terutama wanita mahu bergambar dengannya, dia menjaga batas pergaulan dengan kedudukan bergambar pada jarak tertentu.

“Jika kebetulan isteri ada bersama ketika itu, biasanya saya akan perkenalkannya kepada peminat dan mengajak dia bergambar bersama peminat saya.

“Walaupun isteri, dia bukan jenis cemburu tetapi sebagai suami, saya perlu tahu batas-batas hukum pergaulan dan tidak melukakan hati isteri saya,” katanya.

HIZBUR  perkenalkan isteri kepada peminat jika ingin bergambar. FOTO NSTP
HIZBUR perkenalkan isteri kepada peminat jika ingin bergambar. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 7:36 AM