MONA Allen. FOTO Hafiz Sohaimi.
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Menyedari bukan mudah meraih peluang menyerlahkan bakat dalam lakonan, Mona Allen, 33, tidak fikir panjang apabila ditawarkan menjayakan karakter antagonis.

Biarpun bimbang dirinya mungkin dikecam, Mona tahu itulah bukti dia berjaya melakonkan wataknya dengan baik. Lagipun, pelakon dikecam kerana menjiwai lakonan adalah perkara biasa.

Pernah muncul dalam drama adaptasi novel seperti Mr Donat Karamel, Mr Stalker Saya Cintakan Awaklah dan Cik Serba Tahu, kini Mona tampil dengan drama telenovela Monalisa.

Diberi kepercayaan melakonkan karakter antagonis sebagai Ramona Herman dalam drama telenovela itu, wanita kacukan Melayu-Inggeris ini berkata ia satu cabaran besar buatnya.

“Saya baru dua tahun aktif berlakon semula selepas agak lama menyepi. Jadi, pengalaman saya dalam lakonan agak kurang.

“Hilangnya saya seketika kira-kira 15 tahun lalu kerana memenuhi impian ibu bapa supaya memberi tumpuan kepada pelajaran dan selepas itu menguruskan perniagaan keluarga,’” katanya.

Pemilik nama sebenar Munna Hafiraneza Allen ini bagaimanapun memberitahu dia selesa kembali aktif semula dalam karier seni pada usia lebih matang.

“Saya tahu persaingan bidang lakonan ketika ini agak hebat. Namun, saya akan cekal menghadapinya kerana yakin setiap pelakon itu sebenarnya ada kelebihan tersendiri.

“Lagipun, rezeki milik Allah SWT. Jadi, tidak ada apa yang perlu saya bimbangkan selain perlu berusaha membuktikan bakat lakonan sebenar,” katanya.

Mengulas lanjut perihal watak antagonis, Mona berkata bukan mudah kerana perlu menzahirkan emosi yang pelbagai.

“Nampak macam mudah tetapi ia sukar bagi saya pada mulanya. Ini kerana saya melihat karakter itu terlalu besar dah perlukan penelitian khusus.

“Mujur pelakon Nazim Othman banyak membantu saya. Lama-kelamaan, saya boleh bersatu dengan karakter Ramona yang pastinya dibenci penonton,” katanya.

Pernah menjadi pengacara program Sinaran Pasport Kegemilangan di TV3 pada usia remajanya, Mona berkata itu juga kenangan indah buatnya.

“Saya tidak pernah lupa pengalaman mengacarakan program itu. Sampai sekarang, ia masih segar dalam ingatan dan gembira kerana peluang sebenarnya sudah diperoleh lebih awal.

“Cuma ketika itu saya utamakan kehendak keluarga kerana ilmu sangat penting. Begitu juga dengan perniagaan keluarga. Lagipun, saya langsung tidak fikir glamor dan popular pada masa itu,” katanya.

Selain bergelar pengacara, Mona juga popular menerusi iklan komersial Celcom dengan cogan kata ‘Awak Nampak Birulah’ yang masih diingati ramai hingga kini.


MONA Allen. FOTO Hafiz Sohaimi.

Elak kontroversi

Mengakui berlaku perubahan besar dalam industri hiburan masa kini, Mona berkata apa yang terjadi itu seiring perkembangan teknologi.

Bagaimanapun, Mona berkata pilihan masih terletak pada diri sendiri. Malah dia amat berhati-hati dan enggan dipalit gosip atau cerita sensasi.

“Saya sangat utamakan kepercayaan keluarga. Jadi, penting untuk saya berhati-hati dan menjaga keperibadian diri. Saya yakin jika tahu menjaga diri pasti tidak dipalit gosip.

“Lagipun, kembalinya saya semula dalam liga karier seni ini kerana minat. Terus terang minat saya pada karier ini (seni) tidak pernah pudar.

“Namun, dalam arus kemodenan teknologi masa kini, saya sedar kena pandai bawa diri dan menjaga tingkah laku,” katanya.

Selesa bersikap positif, Mona berkata matlamatnya kini untuk mengukuhkan nama dalam industri. Malah, peluang kedua ini perlu dimanfaakan sebaik mungkin.

“Setakat ini, saya gembira dengan perjalanan karier dan mengharapkan lebih banyak peluang pada masa akan datang.

“Saya juga tidak akan bersikap terlalu memilih watak kerana mahu mengasah skil lakonan,” katanya.

Mona berkata dia juga tidak gentar untuk terus melakonkan karakter antagonis jika ada tawaran.

Selain Mona dan Nazim, drama telenovela 80 episod MonaLisa turut dibintangi antaranya Zara Zya, Hafreez Adam, Roy Azman, Amyza Adnan dan Fatin Afeefa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 8:28 AM