MOHD Fauzi Harun (tengah) menjaga isterinya, Norazifa Othman (kanan) dan anaknya, Muhammad Faiz Irfan di PPR Desa Mutiara, Tebrau. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mary Victoria Dass
maryvictoria@nstp.com.my


“SAYA tidak segan atau malu untuk bergelar suri rumah sepenuh masa sejak dua tahun lalu demi menjaga anak syurga dan isteri," kata Mohd Fauzi Haron, 44.

Mohd Fauzi terpaksa memikul tanggungjawab berkenaan selepas isterinya Norazifa Othman, 34, disahkan menghidap sakit barah payudara tahap kedua pada dua tahun lalu dan menjalani rawatan di sebuah hospital awam tempatan.

"Alhamdullilah selepas beberapa sesi rawatan, keadaan isteri bertambah pulih, namun tidak sangka mata kanannya pula bermasalah dan rabun teruk akibat katarak,” katanya.

Mohd Fauzi berkata, dia bukanlah seseorang yang berat tulang sebaliknya pernah menjadi pekerja kilang selama lebih 16 tahun di sebuah syarikat di Seelong, Senai dan memperoleh pendapatan bulanan kira-kira RM1,600 sebelum ini.

Bagaimanapun pada dua tahun lalu, dia dibuang kerja kerana kerap bercuti apabila mula memberi penjagaan kepada anak syurganya, Muhammad Faiz Irfan Mohd Fauzi, 9.

"Dalam keadaan berkenaan, saya tidak boleh lagi membiarkan isteri menjaga anak kerana doktor khuatir ia boleh membahayakan nyawa kedua-dua mereka.

"Akibat masalah rabun isteri juga terpaksa bergantung kepada mata kiri untuk bergerak hingga pergerakannya terbatas kerana mata kirinya juga mengalami silau ketara, oleh itu mengambil alih tugasnya termasuk membasuh baju, masak mahu pun mengemas rumah sebaliknya saya melakukannya," katanya.

Mohd Fauzi berkata, rutin hariannya bermula seawal 7 pagi iaitu membersihkan anaknya termasuk mengeluarkan kahaknya menggunakan mesin khas.

Menurutnya, anak bongsu daripada dua cahaya matanya itu bergantung kepada tiub untuk makan dan minum susu.

Katanya, anaknya mengalami lapan jenis kecacatan termasuk dilahirkan tanpa telinga sebelah kanan, masalah usus, keradangan paru-paru, kekurangan oksigen dalam badan, kecacatan lelangit dan kekejangan otot.

"Dia juga tidak memiliki anak tekak hingga sukar menelan makanan dan saluran pencernaan tidak sempurna. Sehingga kini Muhammad Faiz yang mengalami masalah kekejangan otot lumpuh malah bergantung kepada 10 jenis ubat.

"Dia meminum susu kira-kira lapan kali sehari," katanya yang memiliki seorang lagi anak Fatin Nur Azwani, 10, yang kini di bawah jagaan ibunya di Johor Bahru.

Mohd Fauzi berkata, dia juga tidak pernah ketinggalan untuk menyediakan makanan bagi isterinya pada setiap hari dan akibat sibuk mengurus isteri dan anak dia hanya mampu tidur lima hingga enam jam sehari.

Menurutnya, malah sekali seminggu dia perlu membawa isterinya ke hospital bagi menjalani pemeriksaan mata.

Katanya, pada 24 Oktober depan, isterinya dijadualkan menjalani pembedahan katarak dan anggaran kos adalah RM2,500 hingga RM3,000.

"Jika gagal menjalani pembedahan berkenaan lama- kelamaan berpotensi mengakibatkan kebutaan. Kami memohon pembiayaan pembedahan daripada unit jabatan sosial Hospital Sultan Ismail (HSI) di Tebrau, Johor Bahru dan harap ia dipertimbangkan," katanya.

Mohd Fauzi berkata, keluarganya kini bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) berjumlah RM1300 sebulan.

"Pembelian susu khas yang disyorkan doktor ditanggung MAIJ sebaliknya lampin pakai buang kira-kira RM300 sebulan dibeli sendiri. Saya juga berjimat cermat dalam soal perbelanjaan termasuk mengutamakan keperluan isteri dan anak terlebih dahulu," katanya yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara, di sini hari ini.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada keluarga berkenaan menerusi akaun Maybank milik Norazifa di 501208619055 atau hubungi keluarga berkenaan di talian 016-7964979 atau 011-28779391.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 6:15 PM