Amy mendaki bersama 24 pendaki terdiri daripada peminat dan rakan. Foto Shiraz Ali/IG
Ridzuan Abdul Rahman


SELEPAS hampir dua tahun merancang dan membuat latihan, impian Amy Search untuk mendaki ke Kem Pangkalan Annapurna, Nepal akhirnya menjadi kenyataan.

Ekspedisi beliau bersama 24 pendaki lagi akan mengambil masa selama 12 hari dan ia sudah bermula sejak dari 7 April lalu.

Perjalanan dijangka tamat pada 18 April menyaksikan kumpulan pendaki terbabit akan pulang ke Malaysia pada tarikh itu.

Amy meluahkan perasaan teruja memulakan pendakian kerana ia adalah hasrat diidamkan sejak bertahun lamanya.

"Ini pendakian idaman saya. Segala perit jerih dalam pendakian itu memerlukan persediaan fizikal dan mental yang cukup untuk diharungi kerana kejayaan tidak akan datang bergolek dan begitu mudah.

"Sudah tentu banyak cabaran akan dilalui. Saya amat berharap agar pendakian itu selamat dan dipermudahkan kepada semua pendaki," katanya kepada Harian Metro.

Kejayaan mendaki ke Kem Pangkalan Annapurna dengan ketinggian lebih 4,100m dari paras laut juga akan menjadi satu catatan manis buat Amy kerana dicapai pada usia 59 tahun.

Kumpulan pendaki terbabit memulakan pendakian dari Siwai, Pokhara menuju ke Jhinudandha pada hari pertama dan dijangka akan tiba di Kem Pangkalan Annapurna pada 13 April.

Pendaki terdiri daripada rakan-rakan dan peminat tegar Amy dari Malaysia dan Indonesia.

Pengarah Summit Attack Resources (SAR), Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa memberitahu kesemua pendaki dalam keadaan cergas, sihat dan masing-masing sangat teruja untuk memulakan pendakian.

SAR adalah operator menguruskan pendakian pendaki ke gunung-gunung di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 7:21 PM