Ashraf bersama Sarah Ashraf. FOTO NURUL SHAFINA JEMENON
Amirul Haswendy Ashari


PELAKON Ashraf Muslim, 36, mengakui dia belum bersedia untuk mendedahkan anak sulungnya hasil perkahwinan bersama isteri kedua, Wan Sakinah Ahmad Saburi, yakni Sarah Ashraf, empat tahun, ke dunia hiburan.


Ashraf bersama keluarganya pada majlis hari jadi anak sulung bersama isteri keduanya. FOTO NURUL SHAFINA JEMENON

Pelakon drama Cinta Hati Batu itu berkata, keputusan untuk mendedahkan Sarah kepada dunia hiburan atau komersil bergantung kepada perkembangan minat anaknya itu pada masa depan.

"Buat masa ini, Sarah terlalu aktif dan kadang kala sukar dikawal. Dia akan bermain mengikut kehendak 'mood'nya.

"Dia pernah hilang seketika di pasaraya sebelum ini ketika keluar bersama ibunya dan ditemui bermain di sebuah kedai jual mainan.

“Malah tanpa rasa 'bersalah' menghilangkan diri, dia tiba-tiba meminta ibunya membeli mainan ditemui dalam kedai terbabit," katanya.

Ashraf ditemui pada sambutan hari lahir Sarah di sini, juga tidak menafikan anak perempuannya itu gemar melakukan aktiviti lasak seperti memanjat dinding (wall climbing) dan berlari.

Katanya, setiap kali Sarah melakukan aktiviti lasak, sebagai bapa, dia sentiasa memantau dan memberi galakan kerana turut memiliki minat sama.

"Saya tidak mahu menghalang Sarah melakukan aktiviti lasak sebab saya juga seperti itu, cuma saya pastikan dia melakukannya dalam pemerhatian kami sekeluarga agar tidak berlaku kejadian tidak diingini," kata Ashraf lagi.

Selain Sarah, Ashraf turut memiliki seorang lagi anak bersama Sakinah iaitu Adam Ashraf, tiga tahun.

Bersama isteri pertama, Noor Dayana pula, Anas Ashraf, tiga tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 6:38 PM