RAMLI dan Khaty pada sidang media.
HM Digital

Datuk Ramli Sarip dan Datuk Khadijah Ibrahim sememangnya berjaya mencipta keserasian menerusi lagu duet mereka.

Oleh itu, tidak menghairankan apabila kebanyakan lagu duet mereka, antaranya Doa Buat Kekasih terus kekal menjadi siulan dan diminati peminat walaupun dihasilkan lebih 30 tahun lalu.

Bertitik tolak dari situ, timbul perancangan untuk menganjurkan konsert berteraskan lagu duet yang pernah mereka rakamkan.

Perancangan ini akhirnya menjadi kenyataan apabila konsert Doa Buat Kekasih 30th Anniversary Tour 2018 akan berlangsung di beberapa lokasi iaitu Persada Johor Convention Centre pada 7 September ini, Istana Budaya

(6 Oktober) dan Esplanade Singapura (17 Oktober).

Ramli berkata, dia lega kerana apa yang dicita-citakan akhirnya menjadi kenyataan.

“Sebelum ini saya hanya bercakap berkenaan konsert ini yang akan diadakan tapi situasinya ketika itu masih samar-samar.

“Akhirnya ia direalisasikan pada ulang tahun ke-30. Ia tarikh yang istimewa buat kami dan semua peminat,” katanya mengenai konsert anjuran syarikatnya Rasa Karya Sdn Bhd itu.

Bagi Khadijah atau Kathy pula, keinginan mengadakan konsert ini bukanlah perkara baru kerana ia sering diperbualkan setiap kali mereka mengadakan persembahan bersama.

“Sudah tentu lagu ini sering jadi pilihan ramai setiap kali kami bergandingan dalam mana-mana persembahan. Secara tak langsung, impian adakan konsert pun timbul.

“Alhamdulillah, impian dan tindakan ini akhirnya bakal menjadi kenyataan,” katanya.

Ramli turut membuka cerita bagaimana sejarah lagu Doa Buat Kekasih dihasilkan dan seterusnya menjadi kesukaan ramai.

“Ketika itu, saya baru selesai menyiapkan rakaman album kumpulan Lefthanded. Saya hanya duduk dan ada gitar saja. Lalu saya senandungkan melodi lagu ini. Ada beberapa orang di situ dan mereka menangis apabila mendengarnya.

“Apabila ditanya kenapa menangis? Mereka mengatakan melodinya sangat menyentuh. Ketika itu liriknya belum ada dan saya meminta penulis liriknya, Hartinah Ahmad menulis lirik yang matang serta positif,” katanya.

Ramli menganggap lagu Doa Buat Kekasih sebagai kemuncak perjalanan kerjaya seninya dan Khadijah sendiri.

“Khaty dengan kerjaya solo nyanyiannya manakala saya pula daripada kumpulan ke solo. Idea untuk menghasilkan lagu Doa Buat Kekasih tercetus selepas popularnya lagu Up Where We Belong nyanyian Joe Cocker & Jennifer Warnes.

“Saya terfikir mengapa tidak hasilkan lagu duet. Kebetulan industri muzik kita memang ketandusan lagu berbentuk duet, lebih-lebih lagi pada era 1980-an,” katanya.

Menurutnya, Khaty pasangan yang paling sesuai membawakan lagu itu. Kebetulan pula, sebelumnya mereka pernah berduet menerusi lagu Ku Miliki Bayangmu.

Khaty juga turut sama berkongsi pengalaman ketika rakaman lagu ini yang hampir membuat mereka bergaduh.

“Ramli nak bolot semua bahagian dan lupa ini lagu duet. Saya akhirnya menegur membuatkan dia tersedar. Dia tahu ‘range’ suara saya. Bagi saya Doa Buat Kekasih dalam studio tu adalah satu sejarah,” katanya.

Selain lagu duet, konsert berkenaan juga akan menampilkan mereka menyampaikan lagu popular masing-masing.

Dalam pada itu, Ramli melahirkan perasaan gembira kerana konsert di Johor dianjurkan dengan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor Cancer Foundation.

Begitu juga di Singapura yang mendapat kerjasama AIN Society (Social Services Organization for Cancer Patient).

“Cuma di Kuala Lumpur sahaja yang belum ada penaja dan kami amat mengalu-alukan jika ada mana-mana pihak berminat sebagai penaja,” katanya.

Seperti biasa, konsert ini akan turut diiringi barisan pemuzik Soul Journey terdiri daripada Aji Samin (gitar utama), Rizal Halim (gitar kedua), Tom Anuar (dram), Din Safari (bass), Rozario Rasul (keyboard) dan Paang Zaman (perkusi).

Tiket konsert Doa Buat Kekasih 30th Anniversary Tour 2018 di Istana Budaya sudah mula dijual dengan harga RM400, RM350, RM200, RM150 dan RM100 boleh dibeli di Istana Budaya atau secara dalam talian dengan melayari www.ilassotickets.com. -Ridzuan Abdul Rahman

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 9:46 AM