CHACHA akui trauma memandu selepas insiden kemalangan.
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


Menceburi bidang lakonan pada usia belasan tahun bukanlah perjalananan mudah buat Chacha Maembong, 22.

Apatah lagi Chacha yang juga adik kepada pelakon Emma Maembong tidak terlepas daripada dikait dengan gosip dan cerita sensasi berkaitan peribadinya.

Namun begitu, menariknya mengenai pemilik nama sebenar Siti Aisyah Ismail ini, dia tidak pernah mengelak apabila kisah peribadinya menjadi perhatian.

Ini termasuk kejadian kemalangan jalan raya membabitkan dia bersama rakan baiknya, penyanyi Didi Astilah pada 30 Januari lalu.

Namun, disebabkan lokasi kemalangan itu berlaku pada jam 2 pagi di Jalan Alor, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, Chacha dilabel gadis liar oleh segelintir netizen.

Tidak melatah mengenai perkara itu, Chacha berkata, dia lebih selesa tidak ambil peduli dengan apa saja ‘cakap orang’ mengenai dirinya.

“Kritikan dan kecaman daripada segelintir netizen yang mendakwa saya gadis liar, tak kisah pun.

“Bagi saya, biarlah mereka (netizen) nak cakap atau anggap apa-apa pun. Itu hak masing-masing dan saya okey saja.

“Walaupun dilabel liar, saya berterima kerana sekurang-kurangnya tidak bersikap hipokrit dengan imej baik setiap masa,” katanya.

Ditanya apakah dia tidak kesal dan kecewa dengan dakwaan negatif itu, Chacha berkata, dia selesa menjadi diri sendiri.

“Perasaan kesal dan kecewa dikecam netizen itu tetap ada tetapi saya tidak mahu ambil peduli sangat kerana kehidupan perlu diteruskan.

“Kalau mereka (netizen) kata saya liar, ya, mungkin saya liar. Ini kerana keperibadian saya tidak seperti kakak, Emma dan biarlah.

“Lebih baik menjadi diri sendiri daripada hipokrit dengan imej yang nampak baik dan bersih sedangkan realiti sebenar tidak seperti itu,” katanya.

Mengakui mendapat nasihat daripada orang di sekelilingnya supaya berubah dan lebih baik lagi jika memakai tudung seperti Emma, Chacha berkata, masa akan menentukan.

“Buat masa ini, saya mengaku belum mendapat seruan untuk memakai tudung seperti Kak Emma.

“Bagaimanapun, saya yakin akan bertudung juga apabila sampai masanya. Tolong doakan yang baik-baik saja kerana itu lebih bagus,” katanya.

Menurut Chacha, sebagai manusia biasa yang tidak sempurna, apa saja kritikan dan kecaman dilemparkan kepadanya, dia ambil pendekatan positif untuk terima.

“Pada saya, sekarang ini ‘pembenci adalah peminat saya’. Walaupun mereka kecam di laman sosial tetapi ada juga di antaranya yang ‘like’ foto saya.

“Yang penting setakat ini keluarga menerima dengan baik kerana mereka sangat mengenali siapa saya yang sebenar.

“Jadi, sokongan keluarga sangat penting. Bagi saya, orang nak cakap apa biarlah asalkan keluarga tahu apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.

Menurut Chacha, akibat kemalangan itu juga dia kini trauma memandu dan selesa bergerak ke mana saja menggunakan kenderaan awam atau ditemani pengurusnya.

Berjaya bina nama sendiri

Tujuh tahun aktif membina nama dalam karier lakonan, Chacha mengakui kini bakatnya makin dikenali dan diterima peminat.

Buktinya, apabila buat kali pertama nama Chacha dicalon untuk kategori Aktres Pilihan pada acara anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2018 (DFKL 2018) pada 13 Mei ini.

Malam kemuncak anugerah berprestij yang mengiktiraf karya seni dalam penghasilan drama itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Mengulas mengenai pencalonannya, Chacha berkata, dia bersyukur dan teruja kerana akhirnya tersenarai dalam kelompok finalis.

“Menang atau kalah, saya tidak letak harapan tinggi kerana calon lain yang disenaraikan iaitu Janna Nick, Ayda Jebat dan Nina Iskandar juga hebat lakonan mereka dalam drama dibintangi.

“Malah, saya pun sebenarnya tidak sangka lakonan dalam drama Muzium Misteri yang mengisi slot Seramedi di TV3 akan membawa nama dan bakat lakonan ke tahap ini.

“Terus terang, saya sangat bersyukur kerana akhirnya dapat juga keluar daripada terus dibayangi nama Kak Emma. Kini saya sudah mampu bina nama sendiri.

“Bukanlah satu masalah pun apabila sentiasa dibayangi nama Kak Emma kerana kami adik-beradik kandung, cuma lebih puas jika saya dikenali dengan bakat lakonan dimiliki” katanya.

Berbicara juga mengenai aktiviti lakonannya, Chacha yang mempunyai 1.3 juta pengikut di Instagram berkata, dia akan muncul dalam drama Geng Tadarus di RTM dan filem berjudul Garang.

Turut ditanya mengenai percintaannya, Chacha yang tidak berselindung mengakui hatinya kini berjaya ditambat jejaka kelahiran Sarawak berusia 27 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 10:04 AM