HELLOWEEN berkunjung ke Malaysia selepas 34 tahun ditubuhkan. FOTO Franz Schepers
Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my


Helloween, band power metal dari Hamburg, Jerman ini bukanlah asing bagi peminat genre metal tanah air.

Album terawal mereka seperti Walls of Jericho, Keeper of the Seven Keys: Part I dan Keeper of the Seven Keys: Part II antara yang wajib berada dalam simpanan peminat fanatik Helloween.

Album yang diterbitkan pada 1985 hingga 1988 itu meletakkan nama Helloween sebaris dengan band heavy metal popular dunia dan muzik yang mereka hasilkan membawa kepada kewujudan subgenre metal iaitu power metal.

Selepas 34 tahun ditubuhkan, peminat Helloween di Malaysia akhirnya berpeluang menyaksikan konsert sulung mereka di Mega Star Arena, Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur pada 28 April ini jam 8.30 malam.

Kuala Lumpur adalah satu daripada lokasi konsert jelajah dunia Helloween: Pumpkin United World Tour yang bermula pada 19 Oktober tahun lalu di Monterrey, Mexico.

Apa yang menarik, Kuala Lumpur satu- satunya bandar raya di Asia Tenggara yang dipilih Helloween untuk konsert jelajah ini.

Selain Kuala Lumpur, Jepun turut menjadi lokasi konsert mereka di Asia membabitkan Tokyo, Osaka, Nagoya dan Sapporo.

Kali terakhir Helloween berkunjung ke rantau Asia Tenggara adalah pada konsert sulung mereka di Fort Canning, Singapura pada 24 Februari 2008 disaksikan hampir 5,000 peminat setia mereka dari rantau ini.

Apa yang menarik mengenai konsert jelajah ini ialah kembalinya dua anggota asal Helloween iaitu Kai Hansen (gitar, vokalis) dan Michael Kiske (vokalis).

Kai antara individu yang menubuhkan Helloween pada 1984, namun meninggalkan band itu pada 1989 dan menubuhkan Gamma Ray, sebuah lagi band power metal yang dihormati.

Michael yang menyertai Helloween pada 1986 pula meninggalkan band itu pada 1993.

Dua lagi anggota asal yang masih bersama Helloween ialah Michael Weikath (gitar) dan Markus Grosskopf (bass). Mereka dilengkapkan dengan Andi Deris (vokalis), Sascha Gerstner (gitar) dan Daniel Loble (dram).


MICHAEL (kiri) bergabung suara dengan Andi (tengah) dan diiringi Kai. FOTO Patricia Patah

Gabungan semula anggota asal ini (juga dikatakan gabungan Helloween dan Gamma Ray) bermula pada November 2016.

Michael Kiske dalam satu temu bual berkata, ketika Kai memujuknya untuk kembali menyanyi bersama Helloween, pemain gitar itu berkata: ‘Michael, jika kita tidak melakukan sesuatu lagi di bawah nama Helloween, kita adalah bodoh.’

“Saya katakan kepadanya: ‘Kau tahu tak Kai, aku tak kisah sebenarnya’,” kata Michael.

Bagaimanapun, dua lagi bekas anggota Helloween yang popular iaitu Roland Grapow (gitar) dan Uli Kusch (dram) tidak dijemput untuk kembali bersama mereka.

Pemain bass, Markus ketika ditanya mengenai perkara itu hanya menjawab: ‘Nanti ramai sangat pula.’

Helloween yang kini dianggotai tujuh orang menghasilkan lagu baru pertama mereka berjudul Pumpkins United pada 13 Oktober tahun lalu yang boleh dimuat naik secara percuma.

Dalam lagu itu menyaksikan Kai, Michael Kiske dan Andi berpadu suara. Ia juga lagu baru pertama menampilkan Kai sejak album Keeper of the Seven Keys : Part II pada 1988 dan yang pertama buat Michael sejak album Chameleon pada 1993.

Apa yang pasti, konsert ini pastinya menjanjikan sesuatu yang ‘bingit’, namun sedap dilayan dengan penggunaan sistem bunyi dan peralatan canggih.

Dengan dua penyanyi, tiga pemain gitar serta seorang pemain bass dan dram, Konsert Helloween: Pumpkin United World Tour - Live In Malaysia 2018 ini pastinya akan memuaskan peminat mereka di sini.

Peminat boleh mendapatkan tiket berharga RM295 hingga RM900 dengan melayari www.ticketpro.com.my atau hubungi 03-78807999.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 3:21 AM