Zaid Salim
cnews@nstp.com.my


BERPURA-pura meminta mangsa menunjukkan tandas antara modus operandi lelaki yang dipercayai mengalami 'penyakit' pedofilia melepaskan nafsu batin menerusi penderaan seksual terhadap kanak-kanak perempuan.

Lelaki berusia 20 tahun yang dikatakan aktif melakukan jenayah itu sejak 2017 lalu dikesan menjadikan murid perempuan berusia lapan hingga 12 tahun sebagai sasaran.

Ini terbukti apabila siasatan mendapati seramai 13 murid sekolah rendah di daerah ini dan Kuala Terengganu dikenal pasti menjadi mangsa penderaan seksual lelaki terbabit.

Bagaimanapun, tindakan jijik lelaki itu berakhir apabila dia ditahan selepas polis menerima laporan seorang daripada 13 mangsa yang dibuat pada 27 Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Fazlisham Abdul Majid berkata, selepas kejadian itu, mangsa dalam keadaan menangis mengadu kepada gurunya dia dicabul seorang lelaki sebelum guru terbabit membawa mangsa ke balai polis membuat laporan.

"Susulan laporan itu, kita berjaya mengesan dan menahan suspek di kawasan rumahnya di daerah ini kira-kira 4 petang iaitu selepas dua jam mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang.

"Polis memandang serius kes berkenaan dan segera mengambil tindakan bagi menahan suspek.

"Soal siasat terhadap suspek serta pemeriksaan pada telefon bimbitnya, kita percaya seramai 13 murid sekolah rendah berusia antara lapan hingga 12 tahun menjadi mangsa lelaki terbabit," katanya pada sidang media di IPD Marang, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian 15 rakaman video yang dirakam suspek ketika melakukan jenayah itu, kita berjaya mengesan semua 13 mangsa iaitu 10 murid dari daerah ini dan tiga dari Kuala Terengganu.

"Suspek dikesan melakukan jenayah itu antara 1 hingga 2 petang dengan mensasarkan kanak-kanak yang menunggu ibu bapa untuk pulang selepas waktu sekolah.

"Manakala pada hari minggu, suspek melakukan jenayah itu antara 4 hingga 6 petang," katanya.

Fazlisham berkata, suspek melakukan jenayah itu di beberapa lokasi dalam kawasan sekolah seperti bilik air dan kawasan tersorok seperti belakang bangunan.

Katanya, modus operandi suspek dengan menghampiri dan berpura-pura meminta bantuan mangsa menunjukkan bilik air sebelum mencabul mangsa dan setiap perlakuannya seperti meraba, mencium dan memasukkan kemaluannya dalam mulut mangsa dirakam menggunakan telefon bimbit miliknya.

Beliau berkata, pihaknya sudah menyiapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan pertuduhan terhadap suspek akan dibuat di mahkamah, esok.

Suspek dituduh mengikut Seksyen 5, Seksyen 14(B) dan Seksyen14(D) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017.

Sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara antara 20 hingga 30 tahun dan sebatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 6:29 PM