LAPORAN portal berita Harian Metro, sebelum ini.
Nur Izzati Mohamad
cnews@nstp.com.my


“SAYA anggap dia macam anak sendiri menyebabkan saya nekad untuk terjun ke laut bagi menyelamatkannya."

Begitu kata polis bantuan, Zaidi Salleh, 52, apabila mempertaruhkan nyawa untuk menyelamatkan wanita yang cuba membunuh diri dengan terjun ke laut di Kilometer 9.9 Jambatan Abdul Halim Muadzam Shah (JAHMS), Batu Kawan, hari ini.

Zaidi berkata, dia menerima panggilan daripada rakannya yang bertugas meronda di jambatan itu lalu bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati mangsa sedang terkapai-kapai meminta pertolongan.

Katanya, dia memikirkan mangsa seperti anak sendiri menyebabkannya tidak sampai hati melihat keadaan itu lalu terjun dari ketinggian antara 18 hingga 20 meter demi menyelamatkan nyawa wanita itu.

“Saya memang tidak fikir panjang ketika itu kerana melihat mangsa menjerit meminta tolong sekali gus menimbulkan rasa kasihan apatah lagi dia seolah-olah seperti anak saya sendiri.

“Bagaimana perasaan saya sebagai seorang bapa sanggup membiarkan ‘anak’ menjerit dan meminta pertolongan seperti itu lalu terus terjun untuk menyelamatkannya,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Zaidi yang berasal dari Permatang Batu, Bukit Mertajam memberanikan dirinya berikutan mempunyai pengalaman dan kepakaran berenang dalam tempoh lama di laut kerana pernah bertugas sebagai anggota tentera udara dan komando.

“Syukur dengan kelebihan yang dianugerahkan ini kerana saya dapat berbakti dan membantu mereka yang memerlukan pertolongan.

“Saya tahu mangsa tidak sedar apa yang dilakukannya kerana berada dalam keadaan yang amat tertekan. Jika tidak, dia tidak menjerit ketakutan seperti itu.

“Malah, wanita itu juga hanya menangis sepanjang kami terapung di laut selama 45 minit, dan dia sendiri tidak pasti dengan apa yang berlaku,” katanya.

Katanya, mereka yang diselamatkan pasukan penyelamat kemudian dibawa ke Jeti Batu Musang di Batu Kawan dengan bot nelayan yang berada di lokasi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superitendan Shafee Abd Samad, berkata mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sungai Bakap (HSB) untuk rawatan.

“Hasil temubual awal yang dijalankan dengan mangsa didapati dia bertindak sedemikian kerana berada dalam keadaan tertekan,” katanya.

Berita berkaitan

Masih panjang usianya... [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 7:44 PM