ELVINA.
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Mengambil keputusan bernikah pada usia muda menimbulkan banyak salah tanggapan terhadap pelakon sedang mencipta nama, Datin Elvina Mohamad, 23.

Kebanyakan penggiat seni beranggapan masih terlalu awal untuk pelakon kelahiran Teluk Intan, Perak ini mendirikan rumah tangga memandangkan dia baru dua tahun menceburi bidang lakonan.

Apabila bergelar isteri, banyak perkara perlu difikirkan atau didahulukan sekali gus membataskan kerjaya seninya yang baru hendak berkembang.

Tambahan pula Elvina pelakon muda berbakat besar dan boleh pergi jauh dalam bidangnya.

Memegang status Datin sebaik bernikah dengan ahli sukan permotoran dan ahli perniagaan, Datuk Mohd Haniff Borhan, 33, pada 18 Mac lalu juga menyaksikan netizen membuat telahan kononnya pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Mariam Alissa ini mengejar kemewahan.

Elvina ketika ditemui berkata, dia tahu mengenai tanggapan sedemikian tetapi enggan mengambil ‘pusing’ mengenainya.

Namun, dia tetap mengambil positif di atas ‘cakap-cakap’ orang itu.

“Jika hendak difikirkan apa pandangan orang memang boleh buat saya tertekan. Lebih-lebih lagi apabila ada pihak mengatakan selepas bernikah nanti, rezeki saya tidak akan kencang seperti sebelum ini.

“Kerjaya saya juga dikatakan akan terbatas kerana suami akan memberikan pelbagai syarat dan pada waktu sama saya perlu memberikan tumpuan kepada rumah tangga sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pada majlis persandingannya di kampung halamannya, baru-baru ini.


MAJLIS di kediaman keluarga Elvina di Teluk Intan, Perak, minggu lalu.

Menurut Elvina, sebenarnya apa yang berlaku adalah sebaliknya. Tawaran berlakon datang mencurah-curah hingga dia pening untuk memilih yang mana satu untuk diambil.

“Sejak membuat keputusan bernikah, ujian datang apabila banyak tawaran berlakon datang. Bagaimanapun, saya terpaksa menolaknya.

“Saya tahu ada syarikat produksi dan stesen TV marah dengan tindakan diambil terutama syarikat pengurusan saya MindOrder Sdn Bhd yang perlu berdepan dengan pihak yang mewakili saya untuk berurusan.

“Tambahan pula keputusan bernikah terpaksa saya rahsiakan kepada umum. Pengumuman hanya dibuat apabila semua kerja dan perancangan pernikahan serta persandingan benar-benar sudah ditetapkan,” katanya.

Elvina berkata, dia mohon maaf terhadap syarikat produksi mahupun stesen TV yang berasakan pihaknya menimbulkan masalah dan kesulitan untuk bekerjasama.

“Saya bersyukur kerana sebaik pengumuman mengenai majlis pernikahan dan persandingan diumumkan, banyak pihak terbabit faham. Saya berterima kasih atas kepercayaan yang mereka letakkan kepada saya sebelum ini,” katanya.

Suami tak pernah halang

Suami Elvina tidak pernah menghalang untuk dia aktif sebagai pelakon walaupun sudah bergelar isteri.

Malah, Mohd Haniff juga tidak pernah mencampuri urusannya dalam merangka kerjaya seni.

“Namun, sebagai isteri sudah tentulah saya perlu tahu tahap mana boleh beraksi sebagai pelakon. Lagipun, sebelum berkahwin lagi saya memang sudah berjaga-jaga. Sebagai contoh, berpegangan dengan bukan mahram.

“Perkara seperti itu bukan saya saja yang ambil berat, tetapi pihak stesen TV turut memberi perhatian lebih dalam menjaga sensitiviti. Perkara itu tidak perlu saya fikir, mereka akan fikir untuk kami sebagai pengkarya. Jadi tidak ada yang berubah,” katanya.

Menurut Elvina, dari segi pemilihan watak, dia tidak pernah meletak syarat asalkan ceritanya bagus dan boleh mencabar bakat lakonannya.

“Saya tidak pernah menolak tawaran berlakon atas alasan suami tidak membenarkan atau saya kini sudah bergelar isteri orang. Dakwaan itu tidak pernah berlaku,” katanya.


KETIKA majlis persandingan di Kuala Lumpur pada 24 Mac lalu.

Dugaan lepas nikah

Sepatutnya sebaik saja majlis pernikahan dan persandingannya yang berlangsung 18 dan 24 Mac lalu selesai, Elvina dijadualkan kembali bekerja untuk menjayakan drama bersiri Bila Tuhan Berbisik.

Bagaimanapun, pembabitannya dalam drama yang bakal ditayangkan di TV3 itu terpaksa dibatalkan pada saat akhir apabila dia menghidap demam cacar.

“Ujian datang sebaik majlis pernikahan saya selesai. Ketika majlis persandingan pada 24 Mac lalu di Kuala Lumpur, ramai yang tidak tahu saya belum sembuh sepenuhnya.

“Sebaik penggambaran dimulakan, demam cacar saya sudah sembuh tetapi kesan daripada kulit lepuh sangat teruk. Disebabkan watak utama Bila Tuhan Berbisik memerlukan wajah polos tanpa perlukan solekan tebal membuatkan pihak penerbitan dan stesen TV terpaksa menukar pelakon.

“Saya memang sedih kerana drama itu sangat bagus. Apatah lagi ia membariskan pelakon hebat dan berbakat besar seperti Datuk Awie, Hazama, Kodi Rasheed dan Aril Pilus.

“Bagaimanapun, saya diduga dan terpaksa akur dengan kehendak stesen TV dan syarikat produksi,” katanya.

Bagaimanapun, Elvina bersyukur kerana tawaran berlakon terus diterima dan dia bakal kembali ke lokasi penggambaran minggu depan untuk drama bersiri Sejuta Rasa Buat Adelia.

Menurut Elvina, dia tahu ramai peminat merindukan penampilannya di TV selepas senyap agak lama kerana sibuk menguruskan majlis pernikahan dan persandingan.

“Ramadan nanti, drama bersiri lakonan saya, Isteri Untuk Diiktiraf bakal ditayangkan di RTM manakala pada Aidilfitri tahun ini drama Ti Amor Sweetheart 100 Hari akan ditayangkan di saluran Astro Ria,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 2:50 AM