ANGGOTA bomba cuba membantu mangsa kemalangan di Kilometer 22 Jalan Lipis-Benta berhampiran R&R Benta di Lipis, hari ini. FOTO JBPM Pahang
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


JURURAWAT terpaksa menerima hakikat apabila kehilangan dua insan tersayang serentak selepas ibu dan suaminya maut dalam kemalangan di Kilometer 22 Jalan Lipis-Benta berhampiran Kawasan Rehat dan Rwat (R&R) Benta di Lipis, hari ini.

Dalam kejadian 1.30 pagi itu, mangsa Mohd Rosrien Fikri, 32, dan ibu mentuanya Rahimah Yahaya, 64, meninggal dunia di tempat kejadian selepas Perodua Myvi dinaiki mereka dari Kelantan menuju ke Selangor bertembung dengan treler.

Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu Mohd Rosrien dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung.

Katanya, ketika kejadian isteri mangsa, Nur Amaliena Hussin, 25, berada di tempat duduk depan, manakala anak perempuannya, Nur Adzkiya Sofea berusia setahun duduk di bahagian penumpang belakang bersama ibu mentuanya.

“Isteri dan anak perempuan mangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis bagi rawatan lanjut, manakala mangsa dan ibu mentuanya maut di tempat kejadian akibat mengalami parah di kepala,” katanya.

Menurutnya, pemandu treler, 24, dan kelindannya, 22, tidak cedera.

Katanya, pihak polis percaya pemandu Perodua Myvi mungkin memandu dalam keadaan mengantuk sebelum memasuki laluan bertentangan yang menyebabkan kemalangan.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 12:03 PM