ASHNAR melihat berita mengenai Mohamad Saiful dalam akhbar Harian Metro ketika ditemui di rumahnya di Taman Asia Selatan, Ayer Merbau, Jasin, hari ini. FOTO Rasul Azli Samad
Mohd Hilmie Hussin


DALAM keadaan tangan kanan terketar-ketar dan suara menggeletar, Ashnar Muhamed, 60, memegang akhbar Harian Metro sambil mengatakan mahu lamina (liminate) akhbar memaparkan wajah anaknya, Mohamad Saiful, 31, yang terkorban apabila kapal MV Ocean Geos terbakar di perairan Kuala Baram, Miri, Sarawak, Selasa lalu.

Ashnar yang menghidap angin ahmar hanya terbaring di sofa kelihatan tidak melepaskan akhbar berkenaan sejak kakaknya, Zainab Muhamed, 64, menghulurkan kepadanya pagi ini.

Beliau yang tidak mampu bercakap dengan jelas selain mempunyai masalah ingatan turut kelihatan menitiskan air mata apabila ditanyakan mengenai Mohamad Saiful.

Sementara itu, ibu Mohamad Saiful, Sinava Abu Bakar, 54, berkata kali terakhir dia bertemu Allahyarham pada hujung bulan lalu, sebelum anaknya itu keluar bekerja menaiki kapal.

“Saya dan suami hanya tahu mengenai kejadian dan kematian Mohamad Saiful pada jam 6 petang semalam.

“Anak lain sudah tahu, tetapi sembunyikannya (berita) daripada saya,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Taman Asia Selatan, Ayer Merbau, Jasin, hari ini.

Sinava menerima ketentuan Allah SWT, namun tetap bersimpati dengan nasib balu Allahyarham Khairul Dalila Ahmad Ridzuan, 31, yang terpaksa menjaga dua anak masih kecil.

Allahyarham meninggalkan dua anak, Mohamad Syafi Khalish dan Nur Safiya Kaysa masing-masing berusia dua tahun dan dua bulan.

Jenazah Allahyarham menjalani proses bedah siasat di Hospital Miri, hari ini dan di bawa pulang ke Semenanjung menaiki pesawat kargo ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada tengah hari.

Jenazah dijangka tiba di rumah keluarganya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ayer Merbau, Jasin malam ini.


KHAIRUL Dalila (kiri) tidak dapat menahan sebak ketika menunggu kepulangan jenazah suaminya di kediaman keluarganya di Taman Asia Selatan, Ayer Merbau, Jasin. FOTO Rasul Azli Samad

Sementara itu, adik mangsa, Mohamad Hafiz, 27, berkata abangnya seorang yang bertanggungjawab kepada keluarga, malah dia merancang mengupah syarikat penjagaan untuk menguruskan abah mereka.

Menurutnya, Allahyarham memberitahu adik-beradik dia sudah menghubungi sebuah pusat penyedia perkhidmatan jagaan orang tua di rumah sendiri dan menyuarakan kesediaan membayar kos bulanan sebanyak RM3,000.

“Abang saya tidak mahu abah terabai kerana mak mempunyai masalah lemah jantung dan tidak kuat untuk menguruskan abah.

“Dia (arwah) nak ada orang mandi dan bersihkan abah, uruskan tempat tidurnya, selain penjagaan kesihatan dan fisioterapi,” katanya.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Semoga roh Epol dicucuri rahmat'

'[UPDATE] Dah jumpa Mohamad Saiful [METROTV]'

'[UPDATE] Cari Mohamad Saiful dalam 'perut' kapal'

'[UPDATE] 1 hilang, 2 cedera, 36 selamat [METROTV]'

'Kapal Ocean Geos terbakar'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 10:20 PM