Audrey Dermawan
audreymd@nstp.com.my


“SAYA tidak kisah dan akan menerima kritikan netizen dengan hati terbuka.” Demikian luahan Konstabel Zaidi Salleh, 52, yang nekad menyelamatkan wanita berusia 28 tahun yang terjun di Kilometer 9.9 Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, dekat Georgetown, Rabu lalu.

Zaidi yang berkhidmat sebagai anggota polis bantuan Syarikat Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) berkata, beliau tidak akan melayan semua kritikan terbabit kerana perkara yang paling penting adalah dapat menyelamatkan nyawa wanita berkenaan.

"Saya ingin tahu juga bagaimana netizen yang mengkritik saya itu dapat membantu menyelamatkan wanita berkenaan jika mereka berada di tempat saya.

"Saya ingin belajar daripada mereka kerana mungkin mereka mempunyai ilmu yang jauh lebih hebat berbanding saya. Saya ini cuma lelaki biasa," katanya ketika ditemui, hari ini.

Terdahulu, Zaidi bersama dua lagi rakannya yang turut menyertai misi menyelamat berkenaan diraikan dalam sebuah majlis anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN).


ANTARA laporan Harian Metro berhubung kejadian sebelum ini.

Zaidi bersama Konstabel Mohd Fitri Abu Hasan dan Konstabel Megat Taufik Megat Kamaruddin, masing-masing menerima sijil penghargaan dan sumbangan wang tunai daripada MKN.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang (MTPPP), Datuk Seri Zainal Abidin Osman dan Ketua Polis negeri, Datuk A Thaiveegan.

Video detik cemas yang memaparkan Zaidi sedang menyelamatkan wanita berkenaan tular di laman sosial sejak Rabu lalu, namun ia turut mengundang kritikan netizen yang mendakwa Zaidi tidak mengikut prosedur menyelamat dengan betul.

Mengulas lanjut, Zaidi yang juga bekas komando di Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkata, kejayaannya menyelamatkan wanita berkenaan adalah hasil latihannya semasa berkhidmat sebagai anggota tentera lebih 20 tahun.

Katanya, sebaik saja mendengar tangisan wanita itu beliau terus menggunakan apa saja kelengkapan yang ada dalam kenderaan penyelenggaraannya untuk menyelamatkan mangsa.

"Pada mulanya saya menggunakan kabel tunda untuk turun kepada mangsa, tetapi ia tidak sampai untuk turun ke tiang konkrit jambatan.

"Saya juga menggunakan tong berisi air yang berada di dalam kenderaan saya, sebagai pengganti kepada pelampung," katanya.

Katanya, beliau berada bersama mangsa di tengah laut hampir 45 minit sebelum bantuan tiba dan mereka dibawa ke jeti dengan bantuan bot nelayan yang kebetulan membantu selepas berada berhampiran dengan lokasi.

Berita berkaitan

Cubaan bunuh diri: Kertas siasatan dibuka

UPDATE 'Saya terbayang anak sendiri'

Masih panjang usianya... [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 6:23 PM
ZAIDI menunjukkan sijil penghargaan diterima dari MKN. FOTO Danial Saad