Rudy Imran Shamsudin


DENGAN sekali lafaz, pelakon popular Dynas Mokhtar selamat bernikah dengan pilihan hati yang juga ahli perniagaan, Mohamad Shazrik Che Mohd Din, 36, jam 10.50 pagi tadi di kediaman pengantin perempuan di Shah Alam.

Dynas atau Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, 35, dinikahkan bapanya Datuk Wan Mokhtar Wan Mohd disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Khairul Anuar Mulim dan kedua belah pihak.

Sebaik majlis akad nikah selesai, Dynas yang juga pengacara menitiskan air mata.

Ditemui pada majlis, pelakon dikenali menerusi program Beat TV itu cuba bertenang selepas mendengar lafaz disahkan.

Bagaimana pun sebaik ibunya Datin Rasiah Shaharuddin memeluk dan berbisik sesuatu, dia tidak dapat menahan perasaan hiba.

"Kata-kata dan amanat diberikan ibu membuatkan saya tewas dan menangis walaupun pada awalnya cuba memujuk hati agar tenang dan tidak menangis," katanya.

Diminta berkongsi amanat diberikan ibunya, Dynas berkata biarlah ia menjadi azimat dirinya dalam melayari bahtera perkahwinan baru dibina.

Pada majlis itu juga, Dynas menerima tujuh dulang hantaran termasuk mas kahwin RM1001, wang hantaran RM30,000 beserta set barangan kemas serba satu dari pengantin lelaki.

Dia kemudian membalas sembilan dulang termasuk rawatan lasik berjumlah RM13,000 yang dilakukan, Selasa lalu.

Majlis pernikahan dihadiri 150 jemputan terdiri daripada keluarga dan kenalan rapat pengantin.

Menariknya, pembawa dulang hantaran pihak pengantin perempuan terdiri daripada rakan artis iaitu Yasmin Hani, Aisyah Sinclair, Daphne Iking, Atilia dan Sazzy Falak manakala Scha Alyahya sebagai pengapit.

Dynas dan Shazrik berkenalan empat tahun lalu, membuat keputusan bernikah selepas melangsungkan pertunangan 26 Oktober lalu.

Pasangan itu mengadakan majlis resepsi di lokasi sama.

Majlis bertandang diadakan pada 28 April di Damansara manakala satu lagi resepsi di sebuah hotel di ibu negara pada 5 Mei.

Ia perkahwinan kedua Dynas selepas bercerai empat tahun lalu.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Dynas dikurniakan dua anak iaitu Khyra Khalyssa, lapan tahun dan Mohamed Haqaish, enam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 April 2018 @ 5:30 PM
Dynas selamat diijabkabul dengan Shazrik Din, hari ini. FOTO Lifestyle Weddings.co