SYARIFFAH Nurlidawati (kiri) bersama anaknya, Mohammad Syaffiq Iqbal.
ANTARA kanak-kanak autisme yang menyertai Kempen Kesedaran Autisme 2018 di Palm Mall, Seremban.
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: “Saya pernah menitiskan air mata apabila melihat anak dipandang sinis orang lain kerana tingkah lakunya yang berbeza. Sebab itu, saya nekad untuk membantu memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai autisme,” kata Syariffah Nurlidawati Wan Mohamad Zen, 38.

Beliau menyedari anak tunggal, Mohammad Syaffiq Iqbal Mohd Zulkarnain yang kini berusia lapan tahun menghidap autisme selepas menghantar anaknya ke tadika ketika berusia empat tahun.

Menurutnya, sebagai ibu pastinya dia terkejut apabila dimaklumkan oleh guru yang anaknya mempunyai simptom autisme.

“Saya membuat penyelidikan dan mencari maklumat untuk memahami mengenai autisme. Saya juga perlu berulang-alik dari Seremban ke Kuala Lumpur untuk menghantar anak mendapatkan rawatan di sebuah pusat khas autisme sebelum mengetahui mengenai Pusat Pembelajaran Khas Chrysalis (CSLC) di Seremban.

“Saya bersyukur anak menunjukkan perubahan yang amat positif dan sebab itulah saya terdorong membantu lebih ramai ibu bapa dan membentuk kesedaran masyarakat mengenai autisme,” kata Syariffah yang ditemui pada Kempen Kesedaran Autisme 2018 di pusat beli-belah, Palm Mall di sini, semalam.

Sebagai ibu yang mempunyai anak autisme, Syariffah berkata, kanak-kanak seperti itu amat memerlukan bimbingan dan sokongan masyarakat selain ahli keluarga dalam menjalani hidup dengan pelbagai cabaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 April 2018 @ 9:16 AM