Siti Sarah (kanan) bersama protegenya, Alina sedih selepas mendengar komen juri tetap. FOTO MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI, Siti Sarah Raisuddin yang juga mentor Alina dalam program realiti Mentor Otai menerima kecaman netizen di laman sosial yang menganggapnya menggunakan elemen drama air mata untuk meraih simpati.

Tindakannya itu juga dikatakan meraih simpati juri sekaligus membuatkan juri memilih untuk mengumumkan nama protegenya itu sebagai peserta yang layak ke peringkat akhir.

"Saya menerima kecaman di media sosial seperti Instagram. Rata-rata, menulis kecaman dan meluahkan rasa tidak puas hati mereka," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Sarah, 34, berkata, apa yang berlaku di pentas separuh akhir Mentor Otai malam tadi (semalam) adalah kerana kekecewaannya terhadap persembahan kurang memuaskan protegenya dan bukan untuk meraih simpati.

"Saya sebagai mentor kecewa dengan persembahan Alina. Jadi, saya memang bersiap sedia untuk terima bahawa Alina tidak layak ke peringkat akhir.

"Namun, selepas juri tetap iaitu Edry Abdul Halim mengumumkan nama Alina sebagai peserta dipilih untuk ke peringkat akhir, saya sendiri pun terkejut.

"Saya tahu, persembahan Alina tidak sepatutnya melayakkan dia melangkah ke pentas akhir dan saya tegaskan, saya menangis kerana kecewa dan bukan untuk meraih simpati," katanya lagi.

Sarah yang popular dengan lagu Kesetiaan itu bagaimanapun tidak membalas sebarang komen dilontarkan kepadanya di media sosial.

"Ada netizen yang 'tag' nama saya dan itu bermaksud, mereka memang nak saya baca komen-komen mereka itu.

"Saya tak membalas satu pun komen-komen itu kerana saya tak mahu mengeruhkan keadaan.

"Nanti takut pula kalau ada pihak yang salah faham dan menganggap jawapan saya berikan adalah mewakili pihak pengurusan saya dan sebagainya. Jadi, lebih baik saya tak balas apa-apa," katanya.

Situasi itu berlaku di pada pentas separuh akhir Mentor Otai disiarkan secara langsung di TV3, semalam.

Alina atau nama sebenarnya Alina Hassan menyampaikan lagu solo berjudul Sembilu dan duet bersama Sarah menerusi lagu I Have Nothing.

Persembahan banyak kesalahan dan kesilapan dilakukan Alina membuatkan Sarah mengalirkan air mata kerana terlalu kecewa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 April 2018 @ 7:45 PM