SALEEM. FOTO Aizuddin Saad
SALEEM. FOTO Aizuddin Saad
Ridzuan Abdul Rahman

Puas hati! Itulah ungkapan yang meluncur di bibir peminat sebaik selesai menyaksikan showcase Saleem Raja Balada - Syokk Ooo di Auditorium MaTic, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Benar seperti apa yang dikatakan isteri Saleem, Julia Bachok kepada RAP berkenaan jualan tiket persembahan itu laris bak pisang goreng panas kerana tidak kelihatan kerusi kosong dalam auditorium yang boleh memuatkan 400 peminat ini.

Bahkan, pengurusan MaTic terpaksa menambah kerusi bagi memenuhi permintaan peminat yang ingin menonton persembahan penyanyi bergelar raja balada ini.

Mungkin ada yang bertanya apa istimewanya Saleem dan showcase ini? Jawapannya, sepanjang 28 tahun mendedikasikan diri untuk dunia muzik tanah air, Saleem, 56, tidak pernah berpeluang mengadakan konsert mini secara solo.

VOKAL mantap Saleem memikat peminat. FOTO Aizuddin Saad
VOKAL mantap Saleem memikat peminat. FOTO Aizuddin Saad

Jadi, sudah tentulah peminat setia teruja mahu melihatnya beraksi di pentas. Selain itu, kehebatan vokal Saleem dalam mengalunkan lagu badala tidak dapat dinafikan lagi.

Peminat yang berada di dalam auditorium sejak jam 8 malam sabar menanti kemunculan penyanyi yang dikenali dengan pelbagai koleksi lagu popular antaranya Suci Dalam Debu, Hakikat Sebuah Cinta dan Blues Terengganu Kita.

Tepat jam 9 malam, Azlee Senario selaku hos tampil membuka pentas dengan celotehnya sebelum menjemput Saleem memulakan persembahan.

Pemilik nama sebenar A M Salim Abd Majid ini kemudian mengalunkan lagu Hakikat Sebuah Cinta dan Gerhana Cinta Luka. Peminat turut sama menyanyikan lagu yang popular pada awal 90-an itu.

Saleem seterusnya menyampaikan lagu terbaru ciptaan Izam EYE berjudul Janggawari yang berunsur kemelayuan dan disusuli dengan medley Tinggal Kenangan dan Cinta Tiga Segi.

Pemilihan Azlee sebagai hos juga satu keputusan bijak kerana dialog spontannya berjaya menceriakan suasana. Bahkan sikap ‘sporting’ Saleem yang boleh ‘melayan’ usikan Azlee membuatkan peminat tidak kering gusi.

AZLEE (tengah) selaku pengacara majlis. FOTO Aizuddin Saad
AZLEE (tengah) selaku pengacara majlis. FOTO Aizuddin Saad

Mereka sempat berduet menerusi lagu Kamelia sebelum mengakhiri segmen pertama bagi membolehkan Saleem berehat buat seketika.

Segmen kedua dimulakan dengan ucapan salam kepada peminat yang hadir.

“Saya minta maaf kerana lupa bagi salam pada awal persembahan. Mungkin kerana terlalu teruja nak menyanyi. Saya ucapkan terima kasih kerana hadir menyokong persembahan ini.

“Seperti yang anda tahu, saya pernah terlantar sakit di hospital dan mengalami kesukaran untuk membayar bil. Itulah sebabnya kutipan tiket untuk showcase ini saya sumbangkan kepada rakan artis lain yang kurang bernasib baik,” katanya.

Tidak ketinggalan, Saleem turut bercerita pengalamannya yang dihantui kebimbangan apabila doktor memaklumkan dia akan hilang ingatan.

“Alhamdulillah malam ini saya dapat menyanyi dan ingat lirik, bermakna apa yang dikatakan itu tak benar,” katanya dan kemudian memulakan persembahan.

Dia memilih menyampaikan lagu Bunga Emas/Juwita, Blues Terengganu Kita, Hidup Bersama (duet dengan Azlee), Satu Kesan Abadi dan Soldier of Fortune sebagai penutup tirai persembahan.

PEMINAT teruja menyaksikan persembahan Saleem. FOTO Aizuddin Saad
PEMINAT teruja menyaksikan persembahan Saleem. FOTO Aizuddin Saad

Namun itu hanya gimik kerana selepas dipujuk Azlee kononnya atas desakan peminat, Saleem meneruskan persembahan dengan mendendangkan lagu Sandiwara Cinta Semusim dan Suci Dalam Debu.

Kali ini Saleem seperti tidak perlu menyanyi kerana dari awal hingga akhir lagu, peminat menyanyi tanpa disuruh.

Dia tidak perlu bersusah payah kerana semua yang hadir seakan-akan merindui lagu berhantu yang menaikkan namanya.

Persembahan Saleem diiringi pemuzik hebat iaitu Nan (gitar kedua), Ritz (gitar utama), Kelly (bes), Firdaus (keyboard) dan Ujang (dram).

Tidak ketinggalan artis veteran Datuk M Daud Kilau, Hail Amir dan Wan Maimunah dijemput menyaksikan persembahan ini.

Istimewanya sumbangan kepada mereka bertiga dan Bob Lokman disampaikan pada malam itu.

Turut hadir menyokong showcase anjuran Laga Emas Enterprise dan Salju’s Enterprise ini ialah Persatuan Seniman Malaysia yang diketuai presidennya Zed Zaidi serta ahli jawatankuasa antaranya Reena Tan, Hafiz Nafiah dan Keeno Mentor.

M Daud Kilau turut diundang menonton. FOTO Aizuddin Saad
M Daud Kilau turut diundang menonton. FOTO Aizuddin Saad

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 2:43 AM