LONGHI tuntut anak buah raih mata penuh di laman sendiri. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim (JDT) berdepan misi mustahil untuk memburu slot separuh akhir zon ASEAN Piala AFC apabila berdepan Song Lam Nghe An pada aksi terakhir Kumpulan H di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Skuad kendalian Raul Longhi yang kini berada di tangga ketiga selepas mengumpul tujuh mata, perlu menang besar ke atas kelab Vietnam kendalian Nguyen Duc Thang itu yang hanya turun mencari keputusan seri untuk mara ke separuh akhir.

Song Lam Nghe An kini berada di tangga kedua selepas mengumpul 10 mata dan bersaing dengan pendahulu, Persija Jakarta yang turut mengumpul 10 mata, namun dipisahkan dengan perbezaan jaringan dengan juara Kumpulan F, G dan H akan layak secara automatik ke separuh akhir.

Satu lagi slot separuh akhir akan menjadi milik pasukan yang menduduki tempat kedua terbaik dalam ketiga-tiga kumpulan itu dengan keputusan seri sudah memadai buat kelab Vietnam itu.

Apa pun, Longhi enggan terlalu memberi tekanan kepada kesebelasan utama yang akan diturunkan tatkala Harimau Selatan juga perlu membuat persiapan rapi menentang Kelantan dalam Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Sabtu ini.

“Kami tetap turun memburu kemenangan memandangkan ia perlawanan terakhir kumpulan dan dalam bola sepak untuk mencari gol yang besar tidak mustahil jika apa yang dirancang menjadi dalam perlawanan itu.

“Mungkin ada rombakan dalam kesebelasan utama kerana selepas itu kami akan menentang Kelantan dan ia perlawanan penting bagi kami untuk kekal di tangga teratas liga. Apa pun, kami tetap fokus pada aksi menentang kelab dari Vietnam itu dahulu bagi mengutip tiga mata di laman sendiri,” katanya.

Bercakap pada sidang media praperlawanan, Longhi juga berharap keadaan cuaca tidak menentu pada sebelah petang tidak menjejaskan rentak permainan JDT yang diterapkan dengan corak umpanan bola pendek dan pengawalan permainan.

Sementara itu, kapten JDT, Safiq Rahim menegaskan kekecewaan tewas 0-3 kepada Pahang pada suku akhir kedua Piala FA, Jumaat lalu sudah dilupakan dan semua pemain memberi sepenuh tumpuan untuk menentang kelab Vietnam itu.

Katanya, moral rakan sepasukan juga positif dan keinginan memburu kemenangan pada aksi terakhir kumpulan begitu tinggi, namun mengingatkan pemain supaya tidak memandang rendah keupayaan lawan yang mempunyai kekuatan tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 2:51 AM