NOR Zalina. FOTO Supian Ahmad
Garret Dawum

Kuala Lumpur: Minat dan semangat Nor Zalina Md Nor, 41, untuk mengajar bahasa Melayu timbul selepas melihat bapanya yang juga bekas guru Kesusasteraan Melayu bersungguh-sungguh ketika mengajar subjek itu.

Pensyarah seni bina dalaman Universiti UCSI itu berkata, bapanya, Md Nor Amat, 72, tidak pernah mengenal erti jemu dan penat dalam melaksanakan tugasnya.

“Komitmen yang ditunjukkan itu juga menjadi pembakar inspirasi dan motivasi tinggi buat saya untuk menjadi tenaga pengajar.

“Saya suka melihat semangat ayah, dalam kesibukannya memenuhi setiap tugasannya, kami sedikit pun tidak terasa kekurangan kasih sayangnya,” katanya.

Nor Zalina yang mengadakan kelas bahasa Melayu secara percuma di UCSI untuk pelajar antarabangsa berkata, dia teruja memperkenalkan bahasa kebangsaan kepada orang luar.

“Bahasa Melayu adalah kebanggaan kita.

“Kita perlu berusaha melonjakkan imej Malaysia sebagai negara yang memiliki kekuatan jati diri dalam bidang bahasa dan budaya.

“Pelajar yang mengikuti kelas ini diajar secara santai dan pembelajaran bahasa Melayu yang diajar menjurus kepada bahasa pergaulan seperti perbualan di kedai makan, pasar raya serta pasar malam.

“Mereka sangat seronok dan menunjukkan minat kerana platform ini saja yang akan membantu mereka menjalani kehidupan dengan lebih mudah di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, kelas bahasa Melayu percuma itu adalah idea bersama dia dan seorang lagi pensyarah di universiti sama, Dr Zuliani Zulkoffli.

“Setiap tahun, fakulti di UCSI perlu mencari projek tanggungjawab sosial korporat dan tahun ini, saya mencari kelainan dengan membuat kerja amal dalam bentuk perkhidmatan mengajar.

“Biasanya jika pelajar ingin belajar bahasa Melayu, mereka perlu bayar mahal tetapi kelas ini sangat istimewa buat mereka khususnya untuk memahami penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian.

“Walaupun hanya dijalankan selama lapan minggu sejak 22 Mac lalu, saya berharap mereka memanfaatkan sesi pengajaran dan pembelajaran yang diadakan,” katanya sambil memberitahu mempunyai 35 pelajar dari Timur Tengah, Bangladesh, Sri Lanka dan Vietnam.


KELAS percuma bahasa Melayu dikendalikan Nor Zalina. FOTO Supian Ahmad

Nor Zalina berkata, dalam kelas itu, pelajar juga diberi pendedahan mengenai budaya Malaysia seperti makanan tradisional dan kesenian.

“Pelajar sangat seronok. Saya juga gembira melihat kesudian dan tahap kesediaan mereka mengenal bahasa serta budaya di Malaysia.

“Selain dijadikan platform untuk meningkatkan bahasa Melayu ke tahap lebih luas kepada pelajar asing, saya juga gunakan kelas ini untuk memartabatkan sosio budaya negara,” katanya yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan.

Nor Zalina berkata, selain bapa yang menjadi inspirasi, dia juga menjadikan pengalaman belajar di luar negara sebagai dorongan mengadakan kelas percuma.

“Ketika belajar di Liverpool, England, saya ada melihat kelas untuk mempelajari bahasa Inggeris yang digunakan penduduk tempatan.

“Bukannya bahasa Inggeris formal tetapi lebih kepada bahasa Inggeris asli di kawasan sekitar. Saya terfikir apa salahnya kita mengajar bahasa Melayu secara santai dan mudah difahami orang luar,” katanya yang mengadakan kelas setiap Khamis bermula jam 6 petang hingga 8 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 4:40 AM