KEROSAKAN akibat letupan pengecas tiruan berharga RM5. FOTO NSTP
Siti Khairunnisa Mohamad Nayan

Kuala Lumpur: “Apa yang berlaku menjadi pengajaran buat saya, kerana ini membabitkan soal nyawa. Selepas ini saya tidak berani lagi untuk menggunakan alat pengecas telefon bimbit tiruan,” kata Syuhairah Mohd Yusuf, 26.

Gadis itu menempuh detik cemas apabila alat pengecas tiruan sedang digunakan untuk mengecas bateri telefon bimbit miliknya yang diletakkan ditepi tilam tiba-tiba terbakar tanpa disedari ketika dia tidur.

Kejadian di rumah sewanya di Setapak, di sini, jam 3.30 pagi, kelmarin menyebabkan tilam berkenaan terbakar dan dia kelemasan berikutan bilik tidurnya itu dipenuhi asap tebal.

Katanya, dia membeli alat pengecas tiruan itu pada minggu lalu dengan harga cuma RM5 dari sebuah kedai menjual aksesori telefon di Danau Kota.

Menceritkan pengalamannya, penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berkata, sebelum tidur dia mengecas telefon bimbit tanpa menyangka kejadian itu akan berlaku, malah alat terbabit tidak menunjukkan sebarang tanda kerosakan.

“Saya terjaga kerana sesak nafas, bila buka mata api sudah marak di sebelah tilam manakala ruang di dalam bilik dipenuhi asap tebal.

“Dalam keadaan panik saya terus ke dapur untuk membasahkan tuala bagi memadamkan kebakaran kerana risau api akan merebak ke bahagian lain.

“Tangan saya melecur akibat terkena bara ketika memadamkan api, namun kecederaan itu tidak serius,” katanya.

Dia kemudian mengejutkan rakan serumah bagi memaklumkan kejadian selain meminta bantuan untuk mengalihkan tilam ke luar rumah kerana risau masih ada bara belum padam sepenuhnya.

“Ketika itu mulut saya tidak berhenti mengucapkan Alhamdulillah tanda bersyukur kepada Allah SWT, seolah-olah saya diberi peluang kedua untuk meneruskan hidup,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini dia kerap membaca laporan akhbar mengenai risiko menggunakan alat pengecas, elektronik atau elektrik tiruan, namun tidak menduga perkara itu akan menimpanya.

“Sekarang saya sedar mengapa kualiti itu penting terutama jika membabitkan barangan elektrik, biarlah mahal asalkan keselamatan kita sebagai pengguna terjamin.

“Insiden itu menyebabkan saya fobia untuk menggunakan barangan murah atau tidak berkualiti, selain itu orang ramai juga patut ambil tahu mengenai teknik asas memadamkan kebakaran ketika berlaku kecemasan di rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 5:24 AM