NORSHAMILI menunjukkan cek yang diterima. Gambar kanan, penyata akaun Norshamili menunjukkan wang yang dikeluarkan. FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin dan Sofyan Rizal Ishak dan Nabil Basaruddin
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Wang simpanan ‘ghaib’ dalam akaun bank. Itu kejadian pelik menimpa beberapa individu mendakwa wang dimasukkan ke dalam akaun simpanan bank hilang tanpa punca.

Tambah mencurigakan apabila pihak bank memaklumkan mangsa wang yang hilang dipindahkan ke akaun milik individu lain tanpa pengetahuan mereka.

Mangsa, Norshamili Osman, 41, mendakwa dia memasukkan wang RM1,000 ke dalam akaun bank miliknya yang diperoleh hasil pemberian kerajaan Negeri Sembilan sebagai bantuan perniagaan 11 April lalu.

Katanya, dia cuba mengeluarkan wang di sebuah cawangan bank di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Dia terkejut apabila mendapati baki akaun banknya hanya tinggal RM25.

“Saya merujuk perkara itu dengan kakitangan bank namun dimaklumkan duit itu dipindahkan ke akaun individu lain melalui sistem perbankan dalam talian.

“Saya berasa pelik bagaimana proses pemindahan wang boleh berlaku sedangkan akaun itu sudah lama tidak digunakan,” katanya.

Norshamili berkata, dia diarahkan pihak bank supaya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

“Berdasarkan pemeriksaan bank, wang RM1,000 itu dipindahkan ke akaun milik seorang wanita.

“Sebelum ini, saya pernah mendengar cerita rakan yang memberitahu duitnya hilang, tetapi tidak menyangka perkara itu terjadi kepada diri sendiri,” katanya.

Sementara itu, rakan Norshamili, Holma Abdul Aziz, 46, berkata, dia kerugian RM1,600 apabila wang dipinjam daripada rakannya yang dimasukkan ke dalam akaun bank turut lesap.

“Rakan memasukkan wang RM2,000 ke dalam akaun bank pada 2 Mac lalu sebelum saya mengeluarkan RM400 pada hari sama.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila mendapati baki hanya tinggal RM29 ketika mahu mengeluarkan wang di cawangan bank itu,” katanya.

Holma berkata, pihak bank memaklumkan wang itu dipindahkan ke dalam akaun milik seorang lelaki melalui sistem perbankan dalam talian.

“Saya tidak pernah membuka akaun untuk perbankan dalam talian menggunakan akaun bank berkenaan. Bagaimana transaksi pemindahan boleh dilakukan melalui proses itu?

“Ketika ini, pihak bank cuma memaklumkan pihaknya sedang mengumpul maklumat berhubung kejadian itu sebaik saya membuat laporan di Balai Polis Lukut untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 5:31 AM