Safuri Kamarudin


“ARWAH kurang bercakap sejak akhir-akhir ini, kalau berbual bersama anak-anak dia banyak berpesan supaya belajar bersungguh-sungguh bagi berjaya”.

Demikian kata Norfaizah Abdullah, balu anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 27, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Kupang, dekat Gerik, semalam.

Norfaizah, 38, berkata, sebelum ini, suaminya (Md Zahar Md Ali, 38) tidak pernah berpesan seperti itu.

Malah katanya, arwah juga sempat mengingatkan anak-anak bahawa jika mereka tidak rajin belajar, tiada baju baharu untuk Hari Raya nanti.

"Itu kata-kata arwah yang saya perasan kerana selalunya dia tidak pernah bercakap macam itu. kalau berbual pun... tentang pelajaran anak-anak.

“Dia juga sempat memberitahu akan menjelaskan semua hutang selain menyelesaikan beberapa perkara yang berkaitan dan saya tidak menyangka dia akan pergi buat selamanya ," kata.

Norfaizah ketika ditemui di rumah bapa mertuanya, di Kampung Charok Siput, Mukim Siong, dekat Baling. .

Dalam kejadian 7.30 malam itu, Md Zahar dan anak ketiganya, Muhammad Faris, 7, maut di tempat kejadian, manakala anak kedua, Muhammad Firdaus, 9, parah.

Ia selepas Proton Exora dinaiki tiga beranak itu terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 200 meter selepas dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit dari arah Gerik ke Kupang.

Norfaizah berkata, arwah suaminya mengajak mereka pulang ke kampung untuk melihat kedua orang tuanya, Md Ali Teh, 85, dan Sofiah Hashim, 70, yang kurang sihat di Kampung Charok Siput, Mukim Siong.

Bagaimanapun, disebabkan anak perempuan mereka tidak dapat ikut, Md Zahar hanya membawa dua anak lelaki pulang ke kampung.

"Sebelum mereka bertolak, saya sempat bersalam dan meminta izin arwah untuk ke kedai membeli keperluan dapur.

"Sebaik pulang dari kedai, arwah sudah bertolak pulang ke kampung. Kira-kira jam 11.30 malam, ada jiran bertanya khabar suami dan saya tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah dimaklumkan oleh pegawai mengenai kejadian itu," katanya.

Beliau berkata, dia tidak nampak sebarang perubahan ketara pada arwah.

"Saya reda apa yang berlaku kerana saya tahu arwah seorang suami yang bertanggung jawab dan baik dengan keluarga. Allah lebih sayangkan suami dan saya perlu tabah menerima apa yang berlaku kerana anak masih kecil dan memerlukan kasih sayang seorang ayah.

"Saya akan menunaikan tanggungjawab dan amanah arwah untuk menjaga anak kami dengan baik dan pastikan mereka tidak tercicir dalam pelajaran," katanya.

Norfaizah berkata, hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan lima anak iaitu Nur Faqihah, 11; Muhammad Firdaus; Muhammad Faris, Nur Zahirah, 5; dan Nur Zafirah, enam bulan.

Ibu Md Zahar, Sofiah Hashim berkata, anaknya itu ada menghubunginya pagi sebelum kejadian dan memaklumkan akan pulang ke kampung untuk menziarah ayahnya yang uzur.

"Dia tidak banyak bercakap cuma memberitahu akan pulang ke rumah. Pada malamnya, saya dihubungi oleh pegawai TLDM dan bertanya sama ada anaknya sampai atau tidak ke rumah.

"Saya dihubungi seorang pegawai menanyakan sama ada anaknya (arwah) sampai belum ke rumah lalu saya memaklumkan belum sehinggalah mereka memberitahu anak saya terbabit dalam kemalangan.

"Saya hanya mampu berdoa anak saya selamat tetapi Allah lebih sayang arwah dia pergi meninggal kami terlebih dulu," katanya.

Berita berkaitan

Dua beranak maut, kereta masuk gaung...

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 April 2018 @ 5:43 PM
Digital NSTP Subscribe