UMMI Nazeeera. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Norhayati Nordin


Selepas bergelar isteri tahun lalu, agak lama juga tidak dengar cerita dan perkembangan karier seni pelakon dan pengacara Ummi Nazeeera.

Ummi, 28, bertemu jodoh dengan lelaki pilihannya, Dr Mohd Izzar Anwari Abdul Khani dan mereka bernikah pada 23 Julai 2017.

Meskipun sudah bergelar isteri, Ummi tetap aktif berlakon dan akan muncul dengan filem terbaru berjudul Gol & Gincu 2 pada Disember nanti.

“Minat saya pada karier lakonan tidak pernah pudar dan masih aktif berlakon. Cuma agak kurang publisiti di media.

“Bagaimanapun, selain filem Gol & Gincu 2, saya turut membintangi drama Patahnya Sebelah Sayap Raya di TV3,” katanya.

Menurut Ummi, keutamaan dan perhatian perlu diberikan kepada penjagaan kandungan sulungnya yang baru berusia empat bulan.

Ummi atau nama sebenarnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainulabadin mengakui bersyukur tidak mengalami alahan yang teruk.

“Biarpun ini pengalaman pertama, ia sedikit pun tidak menganggu aktiviti kerja saya. Malah, saya jadi lebih aktif ketika bekerja.

“Disebabkan itu, saya tidak menyangka diri berbadan dua sehinggalah doktor mengesahkannya pada awal Januari lalu.

“Itu pun kerana saya mengalami kecederaan kaki di lokasi penggambaran filem Gol & Gincu 2 dan ke klinik rakan suami untuk mendapatkan rawatan.

“Doktor memaklumkan saya hamil, ketika itu saya terkejut dan rasa sangat bersyukur,” katanya.

Ditanya mengenai jantina bayi, Ummi berkata dia tidak kisah sama ada dikurniakan anak lelaki atau perempuan. Apa yang diutamakan adalah anak dalam keadaan sihat.

“Suami mahukan anak lelaki namun firasat saya sebagai ibu pula berasakan bayi yang dikandung ini perempuan.

“Ini kerana saya terlalu sukakan warna merah jambu. Malah, pakaian saya mesti merah jambu untuk lebih selesa dan menarik,” katanya.

Menurut pelakon drama Nur Kasih ini lagi, sepanjang tempoh kehamilan selera makannya juga sudah berubah apabila sangat menggemari makanan Barat.

Jelas anak bongsu daripada dua beradik, sebelum ini dia sukakan masakan Thai tetapi kini langsung tidak boleh menikmatinya.


UMMI Nazeeera bersama suami, Dr Mohd Izzar Anwari. FOTO Khairul Azhar Ahmad

Belum fikir Instagram anak

Seiring kemajuan teknologi, ramai selebriti cenderung mewujudkan akaun media sosial termasuk Instagram (IG) untuk bayi mereka. Ummi bagaimanapun menegaskan dia belum memikirkan perkara itu.

Baginya, ada perkara lebih penting yang perlu dia dan suami fikirkan.

“Antaranya, saya dinasihatkan doktor supaya menjaga pemakanan kerana paras gula dalam badan agak tinggi. Ia tidak bagus buat ibu dan anak dalam kandungan.

“Selain itu, saya juga tidak boleh berhenti memikirkan proses bersalin nanti. Kalau boleh saya nak bersalin secara normal.

“Jadi, kalau ada yang bertanya soal IG anak, saya belum ada masa untuk memikirkan perkara ini,” katanya.

Ummi yang dijangka melahirkan bayi sulungnya pada Oktober nanti akan meneruskan karier seni selepas selesai tempoh berpantang.

“Saya akan menjalani tempoh berpantang selama dua bulan dan selepas itu akan sibuk dengan aktiviti promosi filem Gol & Gincu 2.

“Urusan anak memang menjadi keutamaan tetapi saya bersyukur suami sangat memahami. Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk berbicara mengenai perkara ini.

“Doakan yang baik-baik buat saya dan anak dalam kandungan. Semoga segala urusan kami lancar dan dipermudahkan Ilahi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 7:10 AM