KEADAAN lori yang terjunam ke dalam Sungai Kerayong. FOTO NSTP
Mohd Azam Shah Yaacob

Kuala Lumpur: Gara-gara mengelak sebuah motosikal yang masuk ke laluan bertentangan, seorang pemandu lori kargo bersama kelindannya nyaris maut apabila kenderaan itu terbabas lalu terjunam ke dalam Sungai Kerayong di sini, dari ketinggian hampir 20 meter.

Dalam kejadian jam 9.15 pagi di Jalan Lima, Chan Sow Lin, semalam, kedua-duanya bernasib baik apabila air sungai berkenaan hanya separas 0.5 meter dan mangsa cuma mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala serta muka.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, ketika kejadian pemandu lori, Noor Azuan Abdul Rahman, 41, dan kelindannya, Isma Muharis Ismail, 28, dalam perjalanan menghantar muatan pakaian ke Tampoi, Johor.

Katanya, ketika tiba di atas jambatan di laluan itu, datang sebuah motosikal dari arah depan yang kemudian memasuki laluan lori berkenaan.

“Terkejut dengan tindakan penunggang motosikal itu, pemandu lori berkenaan cuba mengelak daripada melanggarnya.

“Bagaimanapun, lori berkenaan hilang kawalan sebelum merempuh penghadang besi di kanan jambatan dan jatuh ke dalam Sungai Kerayong,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.


PEMANDU dan kelindan lori diselamatkan anggota bomba. FOTO NSTP

Zulkefly berkata, kedua-dua mangsa bernasib baik kerana ketika kejadian, air sungai cetek dan keadaan lori yang jatuh dalam keadaan terbalik mengelakkan mereka daripada mengalami kecederaan lebih parah.

“Kedua-dua mangsa yang cedera di muka dan kepala dipercayai akibat terkena serpihan cermin depan lori yang pecah dibawa ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan.

“Buat masa ini, tiada saksi bebas yang tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 7:56 AM