ANGGOTA polis membuat siasatan di lokasi seorang lelaki yang dijumpai mati di Tokong Budha Lim Fan Sah, Jalan Tabuan, Kuching. (Gambar kecil) Nota dalam bahasa Cina bermaksud “Maafkan saya bukan anak yang baik” ditinggalkan mangsa. FOTO STR/JANNAH KHO & IHSAN PDRM
Ekhwan Haque Fazlul Haque


“MAAFKAN saya, saya bukan anak yang baik”. Demikian nota terakhir ditinggalkan seorang lelaki sebelum dipercayai membunuh diri di Tokong Buddha Lim Fan Sah, Jalan Tabuan, di Kuching, semalam.

Pada kejadian 5 petang, lelaki berusia 38 tahun itu ditemui berlumuran darah dan tidak sedarkan diri di dalam kereta oleh seorang pekerja tokong berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ng Ah Lek berkata, lelaki terbabit menggunakan senjata tajam untuk mengelar pergelangan tangan kiri dan kanan, selain terdapat koyakan pada dahi dan kaki kanan.

Menurutnya, berdasarkan rakaman litar tertutup (CCTV) tokong berkenaan, lelaki terbabit dilihat memandu masuk ke kawasan rumah ibadat itu, jam 1.40 tengah hari.

"Pekerja tokong yang kebetulan melalui di kawasan berkenaan kemudian meninjau kereta berkenaan sebelum menemui lelaki terbabit dalam keadaan berlumuran darah.

"Sepasukan polis dari Balai Polis Sentral kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemui nota ditulis dalam Bahasa Cina oleh lelaki terbabit yang meminta maaf kerana tidak menjadi anak yang baik.

Katanya, lelaki yang bekerja sebagai buruh adalah anak kedua daripada tiga beradik dan berasal dari Kuching.

"Polis juga menemui sebilah pisau yang digunakan lelaki terbabit untuk mencederakan dirinya di dalam kereta berkenaan," katanya.

Ng berkata, mayat lelaki terbabit dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS), untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 8:09 AM