SYAZUWAN hargai setiap peluang tawaran berlakon.
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


Drama Festival Kuala Lumpur 2016 (DFKL) menjadi pentas pendatang baru Syazuwan Hassan, 28, diketengahkan dalam bidang lakonan tanah air.

Selepas aktif berlakon dalam tempoh hampir dua tahun ini, nampaknya kemunculan pemuda tinggi lampai dan segak ini berjaya menambat hati penonton.

Ia dibuktikan apabila nama Syazuwan dicalon untuk kategori Aktor Pilihan pada DFKL 2018 yang akan berlangsung 13 Mei ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Bertemu pelakon utama drama Cinta Fatamorgana yang kini mengisi slot Akasia di TV3 ini, dia melihat pencalonan itu sebagai rezeki.

“Saya pelakon baru dan masih kurang pengalaman. Jadi, saya tidak mahu meletak harapan tinggi untuk menang dalam pencalonan kategori Aktor Pilihan itu.

“Bagi saya, sudah berjaya dicalon ke tahap sekarang pun adalah rezeki. Mungkin lakonan yang saya persembahkan dalam drama Sein Dan Luna bersama Mimi Lana agak kuat.

“Pastinya saya sangat bersyukur. Selain itu, saya juga diberi kepercayaan sebagai duta DFKL 2018,” katanya.

Pada masa sama, Syazuwan turut dilabel ‘anak emas TV3’. Ditanya mengenai perkara itu, pemilik nama sebenar Muhammad Syazuwan Hassan ini menafikannya.

Menurut anak ketiga daripada lima beradik ini, dia kini giat berusaha membina nama dan membuktikan bakat lakonannya.

“Saya akui memang platform bakat lakonan dicungkil melalui penganjuran DFKL 2016 oleh TV3. Bagaimanapun, untuk mendapatkan peluang berlakon saya memang kena usaha sendiri.

“Bahkan, menerusi setiap tawaran berlakon diterima itu saya perlu menggunakan sebaik mungkin peluang diperoleh untuk buktikan kemampuan bakat dimiliki.

“Saya tidak boleh bersikap sambil lewa dan tidak serius terhadap peluang itu kerana pembabitan dalam bidang lakonan boleh dianggap agak lewat,” katanya.

Menurut Syazuwan, persaingan sesama pelakon juga agak sengit sekarang. Jadi, adalah wajar untuk dia menghargai setiap peluang tawaran berlakon yang diterima.

Apatah lagi, hingga kini Syazuwan juga dilihat ‘bersih’ daripada sebarang gosip, cerita sensasi dan kontroversi.

Katanya, dia selesa dengan perjalanan kerjaya yang sejajar perkembangannya.

“Tidak terlalu perlahan dan tidak juga drastik graf perjalanan kerjaya lakonan saya. Ia masih di landasan yang memerlukan saya memantapkan lagi usaha diri sendiri.

“Terima kasih kepada penyokong dan penonton yang menerima lakonan saya. Semoga lakonan yang dipersembahkan tidak kaku dan memenuhi cita rasa anda semua,” katanya.

Menurut jejaka yang memiliki ketinggian 1.9 meter ini, dia akan terus tingkatkan usaha terutama memperbaiki mutu lakonannya pada setiap masa.

Terbuka terima watak pembantu

Walaupun semakin banyak drama dibintangi Syazuwan, dia jarang diberi peluang membawa watak utama.

Syazuwan kerap diberikan watak pembantu walaupun jika diukur pakej dirinya, dia layak diangkat sebagai hero.

Syazuwan berkata, dia bukan seorang yang cerewet, apatah lagi bersikap terlalu memilih watak.

Katanya, siapalah dia untuk ‘demand’ terhadap watak akan dilakonkan.

“Saya selesa bersikap terbuka untuk menerima apa saja watak diberi kerana yakin setiap watak itu ada kekuatan tersendiri. Cuma, saya perlu kreatif dan bijak menzahirkannya.

“Ia juga bukan satu persoalan untuk watak utama atau pembantu. Sebenarnya, sebagai pelakon apa yang perlu saya utamakan ialah penghayatan untuk setiap watak dilakonkan itu.

“Dalam soal ini (penghayatan watak) masih banyak yang perlu saya perbaiki. Saya perlu meneliti kelemahan diri dan sedia memperbaikinya untuk berjaya.

“Kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha dan perbaiki kelemahan yang ada. Jadi, saya perlu lebih peka dan akur menerima teguran,” katanya.

Mengakui suka berbincang dengan pengarah dan rakan pelakon lain di set penggambaran, Syazuwan juga menolak dakwaan dirinya seorang yang sombong.

“Saya tidak sombong, cuma perasaan segan itu kadang-kadang tidak dapat dielak. Apatah lagi, apabila melihat lakonan pelakon lain lebih baik daripada diri sendiri.

“Terus terang, saya sangat meminati kerjaya lakonan yang diceburi ini. Bagaimanapu, peluang saya ketengahkan bakat dalam lakonan bermula pada usia pertengahan 20-an,” katanya.

Syazuwan berkata, apa yang menjadi misinya kini adalah memastikan masyarakat terutama khalayak penonton drama tempatan dapat menilai bakat lakonannya yang sebenar.

Katanya, bagi memastikan apa yang menjadi impiannya itu berjaya, Syazuwan berharap dia akan mendapat peluang melakonkan watak lebih mencabar kemampuannya pada masa akan datang.

Antara drama pernah dibintangi Syazuwan seperti Ketupat Palas Mr Handsome, Mr Donat Karamel, Nahu Rindu, Perang Otai Andam, Ops Cinta Din Sardin, Cik Serba Tahu, Muzium Misteri dan Lelaki Itu Pemilik Hatiku.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 3:42 AM