DALER ambil masa selepas 2 hari untuk sesuaikan diri dan rasa selesa.
Ramlah Zainal


Nama pelakon dan model kacak kelahiran Uzbekistan, Daler Yusuf mula dikenali ramai menerusi lakonannya dalam drama bersiri Encik Suami Mat Salleh Celup tahun lalu.

Malah, nama Daler juga menjadi tular di laman sosial akibat insiden dia terpegang dada Nelydia Senrose yang juga heroin drama itu.

Namun, nama Daler seakan-akan menyepi selepas berlakon dalam drama bersiri berkenaan.

Hakikatnya, menurut pemilik nama sebenar, Daler Yusuf Khamrokulov Muhammad, 26, ini, tawaran berlakon sebenarnya tidak putus buatnya ketika ini.

“Alhamdulillah, saya banyak menerima tawaran berlakon selepas beraksi dalam drama Encik Suami Mat Salleh Celup itu.

“Selepas drama itu, saya berlakon dalam drama bersiri Titian Cinta yang diterajui Zul Ariffin dan Farah Nabilah.

“Menyusul selepas itu, saya terbabit dengan dua projek drama untuk saluran RTM iaitu Nota Buat Cempaka bergandingan dengan Eyka Farhana.

“Dalam drama komedi Ombak Rindu pula saya bergandingan dengan Ruhainies yang juga teraju utama,” katanya.

Terbaru, kata Daler, dia kini terbabit dengan penggambaran drama bersiri Jangan Benci Cintaku arahan Pali Yahya yang diterajui Saharul Ridzwan, Zahirah MacWilson dan Amelia Henderson untuk Slot Akasia TV3.

“Saya melakonkan watak yang tidak kurang menariknya iaitu sepupu kepada heroin (lakonan Zahirah).

“Apa yang menjadi konflik, dia juga menyukai sepupunya itu yang sudah pun berkahwin dengan orang lain.

“Penggambaran drama ini sudah selesai di Australia dan kini ia diteruskan di lokasi membabitkan sekitar Kuala Lumpur,” katanya.

Sebagai pelakon, Daler mengakui dia ingin mencuba pelbagai watak berbeza untuk menggilap bakat dalam lakonan.

“Sebab itu, saya tidak kisah ditawarkan watak jahat dalam drama untuk mencabar lakonan sedia ada.

“Saya juga puas dapat melakonkan watak jahat, Ryan dalam drama bersiri Titian Cinta yang bersiaran di Slot Akasia TV3 sebelum ini.

“Ramai peminat juga lebih kenal saya dengan watak jahat yang dilakonkan dalam drama itu,” katanya.

Sebagai pelakon baru, Daler mengakui dia masih gementar setiap kali berada di lokasi penggambaran.

“Itu adalah kelemahan yang saya cuba atasi sampai hari ini. Saya akan mengambil masa selepas dua hari untuk menyesuaikan diri dan selesa di lokasi penggambaran,” katanya.

Bukan sekadar bersandarkan paras rupa, Daler juga serius ingin membina nama dalam bidang lakonan.

Malah, dia pernah berguru ilmu lakonan dengan Fatimah Abu Bakar dan Fauziah Nawi sebelum ini.

“Saya teringin berlakon dalam filem sejarah selepas ini. Pada masa sama ingin bekerja dengan pengarah hebat seperti U-Wei Saari, Dain Said, Ghaz Abu Bakar dan Osman Ali.

“Saya pernah bertemu Abang Osman dua tahun lalu dan dia minta saya perbaiki prestasi lakonan dan akan tawarkan berlakon jika ada watak sesuai nanti,” katanya.

Merancang menetap di Malaysia

Demi mengejar impian dalam bidang lakonan, Daler sanggup berhijrah ke Malaysia dan berjauhan dengan keluarganya di Uzbekistan.

“Saya mula berkunjung ke Malaysia pada penghujung 2010 kerana menuntut dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan di sebuah kolej swasta.

“Ketika mula menuntut di kolej di Subang, saya tidak boleh bercakap dalam bahasa Inggeris dan orang juga ketawakan pelat bahasa Malaysia saya ketika itu.

“Saya juga mula menguasai bahasa Malaysia dengan baik selepas terbabit dalam bidang lakonan dan berada di sini selama lapan tahun,” katanya.

Mengenai perancangan selepas ini, Daler berharap dapat menetap terus di Malaysia.

“Saya juga tidak gentar dengan persaingan kerana percaya pada kerja keras dan rezeki dari tuhan.

“Maklumlah, saya anak sulung daripada lima beradik dan ada tanggungjawab besar untuk menyara keluarga di Uzbekistan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 4:00 AM