HAZMI meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal dinaiki bersama isteri dan dua anaknya dirempuh kereta dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Jerantut-Temerloh berhampiran SMK Temin, Jerantut, malam tadi. FOTO Amir Hamzah Nordin
Amir Hamzah Nordin

cnews.nstp.com.my

DUA kanak-kanak menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa mereka maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 5, Jalan Jerantut-Temerloh, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temin, Jerantut, 9.30 malam tadi.

Mangsa, Hazmi Mat, 59, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya, Rohani Abdul latif, 42, meninggal dunia di Hospital Jerantut, pada 1 pagi hari ini.

Dua anak pasangan itu yang turut membonceng motosikal ditunggang Hazmi adalah Alisha Hazmi, enam tahun, yang cedera di dahi manakala abangnya, Mohd Haziq Danial Hazmi, lapan tahun, patah kaki kanan dan dirawat di hospital sama.

Ketua Polis Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, pasangan berkenaan bersama dua mereka menaiki motosikal Modenas Kriss dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Paya Embun.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah kereta Proton Satria melanggar belakang motosikal mangsa.

“Kereta itu dikatakan dalam perjalanan dari Temerloh ke bandar Jerantut.

“Pemandu kereta Proton Satria itu dipercayai tidak nampak motosikal yang berada di hadapannya dan terus terlanggar empat beranak berkenaan.

“Akibatnya, mangsa terjatuh di sebelah kiri jalan menghala ke Jerantut menyebabkan penunggang meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya meninggal di hospital berikutan parah termasuk pendarahan dalam kepala,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mazlan berkata, pemandu kereta berusia 26 tahun ditahan dan saringan air kencing mendapati dia positif methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 11:45 AM