KHAI bersama Ezza Mysara.
KHAI bersama Ezza Mysara.
Norhayati Nordin


Hampir dua tahun membina karier dalam bidang seni, nama Khai Bahar, 24, kini semakin kuat terpahat di hati peminat.

Bukan hanya lagu dendangannya menjadi siulan ramai, anak jati Perlis ini kian ligat mengumpul trofi anugerah.

Boleh dikatakan, apa saja anugerah yang membabitkan undian peminat pasti nama Khai menjadi pilihan utama.

Mengulas perkara itu, Khai berkata dia tidak pernah menyangka akan mendapat sokongan peminat sehebat ini.

“Bagi saya, apa yang diperolehi ini rezeki dan terima kasih kepada penyokong yang tidak jemu mengundi saya.

“Terus terang, baru saya faham betapa besarnya kuasa undian peminat,” katanya.

Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin berkata di atas sokongan padu itu juga dia nekad memberikan yang terbaik kepada peminatnya.

“Fokus utama saya kini hanyalah pada karier seni. Perjalanan saya masih jauh, banyak yang perlu dilakukan bagi mengukuhkan nama seterusnya membalas jasa peminat,” katanya.

Ditanya mengenai cinta, Khai berkata buat masa ini hanya ibu yang bertakhta di hatinya.

“Buat masa ini, cukuplah hanya ibu yang ada di hati. Lagipun, saya masih muda untuk bercinta.

“Saya tidak mahu fokus saya terhadap karier terganggu. Kalau ada kekasih, saya kena bahagikan masa antara karier dan menjaga hati kekasih,” katanya.

Menurut penyanyi lagu Bayang ini, dia yakin apabila sampai masa pasti bertemu cinta yang sudah ditakdirkan buat dirinya.

Terdahulu, Khai ditemui pada majlis pelancaran novel Luluh hasil kerjasamanya dengan novelis Ezza Mysara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Khai berkata, novel Luluh adalah hadiah istimewa buat peminat setianya.

“Saya berharap Luluh akan mendapat sambutan daripada penyokong saya dan peminat novel tanah air.

“Novel ini memaparkan kisah yang tersirat di sebalik lirik lagu Luluh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mei 2018 @ 1:56 AM