LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Hasbi Sidek dan Nurul Hidayah Bahaudin


PELAKON wanita jelita yang ditahan selepas disyaki memiliki enam bungkusan aluminium berisi 53 pil Eramin 5, pagi tadi, dibebaskan dengan jaminan polis, malam ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, ia selepas pihaknya selesai melakukan siasatan berhubung kejadian itu.

Beliau ketika mengesahkan penahanan artis terbabit berkata, pelakon berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Ia membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pelakon wanita popular ditahan polis selepas disyaki memiliki enam bungkusan aluminium berisi 53 pil Eramin 5 di dalam beg tangan miliknya.

Sumber berkata, dadah itu ditemui apabila pelakon jelita berusia 26 tahun itu dibawa ke Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI), selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Burhanuddin Helmi, jam 11.45 pagi.

“Pelakon yang juga kakak dua pelakon wanita yang kerap membintangi drama didakwa memandu pacuan empat roda model Range Rover sebelum melanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda BRV di kawasan itu.

“Anggota polis Unit Peronda MPV Balai Polis TTDI kemudian segera ke lokasi kejadian sebelum menemui seorang lelaki tempatan yang menjadi mangsa langgar itu,” katanya.

Menurutnya, pelakon wanita yang masih bujang itu kemudian dibawa ke balai polis itu untuk pemeriksaan.

Katanya, anggota polis wanita membuat pemeriksaan pada tubuh dan beg tangan milik pelakon terbabit sebelum menemui enam keping bungkusan aluminium berisi 53 pil dadah Eramin 5 dianggarkan seberat lebih 14 gram dalam beg tangan miliknya.

“Semua dadah itu dianggarkan lebih RM600 mengikut harga pasaran.

“Ujian saringan awal air kencing terhadap pelakon wanita itu didapati negatif dadah,” katanya.

Antara drama yang pernah dibintangi artis terbabit adalah Hero Seorang Cinderella, Tundukkan Playboy Itu dan filem Paku Pontianak.

Berita berkaitan:

Pelakon wanita kantoi dadah

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 11:25 PM