Siti Elizad ganti Uqasha selepas pelakon terbabit tidak dapat beri komitmen. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON, Siti Elizad dipilih menggantikan pelakon Uqasha Senrose selepas pelakon itu ditahan akibat disyaki memiliki enam bungkusan aluminium berisi 53 pil Eramin 5 pada rakaman program Bochey And Friends Raya berlangsung di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Hulu Klang, semalam.

Elizad atau Siti Elizad Mohamad Sharifuddin, 34, berkata, dia dipanggil pada saat akhir selepas dimaklumkan pelakon itu tidak dapat memberi komitmen.

"Ketika dalam perjalanan pulang dari mengambil barang di FINAS, saya dihubungi wakil produksi dan menawarkan saya untuk terbabit dalam program ini.

"Memandangkan ia pada saat akhir, saya bertanya kena ganti siapa. Jadi, mereka maklumkan perlu menggantikan Uqasha atas perkara yang tidak dapat dielakkan.

"Kebetulan tidak ada kerja lain, jadi saya okey saja. Dalam masa sama, mereka minta tolong," katanya kepada Harian Metro.

Elizad yang juga pelakon drama Syurga Yang Kedua berkata, dia tidak dimaklumkan perkara sebenar kenapa Uqasha tidak dapat menghadirkan diri.

"Saya bukan jenis nak ambil tahu apa masalah orang. Namun, sewaktu menunggu rakaman berlangsung saya terbaca laporan berita mengenai Uqasha di laman Twitter.

"Dari situ baru saya tahu alasan utama dia tidak dapat hadir. Selepas itu, baru pihak produksi maklumkan perkara sebenar," katanya.

Menurut Elizad, dia yang secara peribadi mengenali Uqasha mengakui terkejut dengan berita yang dilaporkan.

"Walaupun saya mengenali Uqasha, tapi saya tidak ada hak untuk mengulas atau beri komen. Apa yang berlaku adalah masalah peribadi. Saya doa yang terbaik saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 12:52 PM