NADIA Brian. FOTO Salhani Ibrahim
Sudirman Mohd Tahir

Tawaran untuk melakonkan watak utama dalam filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda tidak dilepaskan Nadia Brian begitu saja.

Walaupun itu filem pertama lakonan Nadia, 27, sebagai teraju utama, dia menyahut cabaran diberikan Datuk A Aida selaku penerbit.

Namun, Nadia perlu berdepan pelbagai ‘halangan’ bagi menjayakan watak Siti yang memerlukan dia belajar silat, menari, bergelut dengan ular, mengenakan solekan khas dan memakai 80 baju membabitkan 106 babak.

“Saya mula belajar silat dua minggu sebelum proses penggambaran dimulakan. Ini pertama kali saya belajar seni mempertahankan diri.

“Kelas diberikan dua kali sehari. Saya perlu fokus kerana ini membabitkan seni silat. Alhamdulillah sepanjang latihan saya tidak mengalami sebarang kecederaan kecuali sakit badan.

“Malah, pada hari pertama penggambaran saya perlu bergelut dengan ular sawa. Ditambah pula lokasi sepenuhnya dijalankan dalam hutan di Kota Tinggi, Johor. Bagaimanapun, ini semua cabaran untuk saya,” katanya.

Nadia yang juga pelakon filem Blok 404 berkata, dia sudah lama mengimpikan watak sebegini malah yakin boleh memberikan lakonan berkualiti pada watak itu.

Menurut Nadia, sebelum memulakan penggambaran 1 Mei lalu, perkara yang menjadi keutamaannya adalah stamina dan kesihatan.

“Diakui watak ini memerlukan tenaga yang banyak. Disebabkan itu, sepanjang penggambaran saya fokus dan tidak mahu sambil lewa. Saya juga menitikberatkan tahap kesihatan.

“Watak ini menjadi idaman setiap pelakon. Ia memang mencabar kredibiliti saya sebagai pelakon. Kalau tak yakin boleh buat, awal lagi saya tolak. Namun, saya yakin mampu menggalas tanggungjawab ini,” katanya.

Pada masa sama, Nadia juga akur apabila watak itu memerlukan dia beraksi berahi.

“Aksi yang dipaparkan dalam babak ini mengikut garis panduan ditetapkan. Sebagai contoh, dalam satu babak saya kena berkemban di sungai.

“Saya tidak ada masalah untuk babak sebegini asal saja ia tidak keterlaluan. Lagipun, kebanyakan produksi sekarang lebih menjaga sensitiviti. Jadi, saya tidak perlu bimbang,” katanya.

NADIA Brian. FOTO Salhani Ibrahim

Peluang cipta nama

Apa yang pasti, Nadia juga berharap pembabitannya dalam filem arahan Bade Azmi itu dapat melonjakkan namanya di persada filem dan lakonan tanah air.

“Setiap pelakon mengharapkan yang terbaik dalam karya mereka. Begitu juga saya yang inginkan sesuatu yang manis menerusi filem ini.

“Insya-Allah, saya yakin filem ini boleh bawa nama saya pergi jauh dan seterusnya mencapai lebih banyak kejayaan. Bukan apa, watak saya sangat mencabar dan banyak perkara kena buat,” katanya.

Berkongsi mengenai pengalaman berlakon dengan kebanyakannya pelakon lelaki, Nadia berkata, mereka memberikan kerjasama baik.

“Sejak awal lagi saya sudah bersedia dan tidak sabar berlakon dengan mereka. Tambahan pula, ada antara mereka memang diakui kualiti lakonannya.

“Saya okey dengan semua orang. Saya bukan jenis memilih soal gandingan. Apa yang penting kerjasama sepanjang penggambaran.

“Memandangkan saya perlu berada di sini selama sebulan iaitu lokasi dalam hutan, jadi tidak mahu wujud sebarang masalah. Kalau boleh biar semuanya berjalan lancar,” katanya.

Selain Nadia, filem terbitan A Aida Productions Sdn Bhd itu turut dijayakan 36 pelakon termasuk Mas Khan, Amar Ashraf, Fizz Fairuz, Firman, Eyra Hazali, Raja Azmi dan Fauziah Nawi.

Ia dijangka ditayangkan awal tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 8:11 AM