Rohaniza Idris; Mohd Iskandar Ibrahim dan Esther Landau dan Beatrice Nita Jay


DATUK Seri Najib Razak mengumumkan meletak jawatan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) serta merta.

Beliau berkata, keputusan beliau itu dibuat hasil mesyuarat Biro Politik UMNO yang bermesyuarat hari ini.

Katanya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menjalankan tugas presiden parti.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula akan menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi BN.

"Saya terima kasih kepada semua ahli UMNO sejak saya mengambil jawatan dan yakin jasa UMNO dan BN besar kepada negara kita," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Ahmad Zahid; Hishammuddin; Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ketua Puteri UMNO,Datuk Mas Emieryati Samsudin.

Turut kelihatan, barisan Exco Pemuda dan Puteri UMNO.

Najib berkata, keputusan itu juga mengambil kira keadaan semasa memandangkan UMNO dan BN mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14.

"Saya dengan yang amat berat meletakkan jawatan serta-merta ini mengikut prinsip moral sesiapa jadi ketua dan gagal dalam pilihan raya perlu bertanggungjawab.

"Saya terima keputusan ini dengan moral dengan hati terbuka, " katanya

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 3:20 PM
NAJIB. FOTO Arkib NSTP