DATUK Seri Anwar Ibrahim. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

KETUA Umum Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibebaskan dari penjara, Selasa ini, kata anaknya Nurul Izzah yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), hari ini.

“Yes (ya),” jawab Nurul Izzah melalui aplikasi WhatsApp apabila diminta mengesahkan mengenai pembebasan Anwar pada Selasa ini.

Anwar dipenjarakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2015 menolak rayuannya terhadap sabitan bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya serta hukuman penjara lima tahun yang dikenakan Mahkamah Tinggi.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat berkata, Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V menyatakan kesediaan baginda untuk memberi pengampunan segera kepada Anwar Ibrahim.

“Ia adalah pengampunan penuh, yang juga bermaksud beliau bukan sahaja diberi pengampunan tetapi juga akan dibebaskan dengan segera apabila mendapat pengampunan,” kata Dr Mahathir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 8:02 PM