AMAR Asyraf. FOTO Salhani Ibrahim
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Minat dan cintanya terhadap bidang pengarahan tidak pernah padam. Biarpun impiannya untuk duduk di kerusi pengarah belum kesampaian, pelakon Amar Asyraf tidak pernah berputus asa.

Menurut Amar atau Amar Asyraf Zailuddin, 32, dia sentiasa mencari peluang ke arah itu bagi melengkapkan profil kerjaya seninya.

Mengakui pernah beberapa kali namanya ditolak stesen televisyen kerana dianggap terlalu muda untuk mengarah, Amar jadikan itu peniup semangat untuk membuktikan kemampuan diri.

“Kalau bercakap mengenai karier, saya sebenarnya lebih suka bekerja di belakang tabir iaitu sebagai pengarah. Buat masa sekarang, saya masih mencari peluang. Namun, belum ada rezeki.

“Pernah beberapa kali saya menawarkan diri untuk mengarahkan naskhah daripada beberapa syarikat produksi, namun stesen TV memberi alasan saya masih muda.

“Walaupun kecewa, saya tetap berfikiran positif. Mungkin betul apa dikatakan, yang mana belum masanya lagi saya duduk di kerusi pengarah. Saya faham dan masa masih panjang,” katanya.

Bagi mengubat rasa kecewa itu, Amar yang juga pengarah teater Perempuan Satu Malam yang dipentaskan tahun lalu berkata, dia kini menumpukan perhatian terhadap lakonan dan kelas teater.

Mungkin ramai belum tahu, Amar adalah tenaga pengajar di Kolej Universiti Poly-Tech MARA, Kuala Lumpur dalam bidang teater.

“Saya sudah mengajar sejak tahun lalu. Selain itu, saya juga menawarkan perkhidmatan kelas lakonan kepada rakan artis. Namun, saya perlahankan dahulu kerana terbabit dalam penggambaran drama dan filem.

“Insya-Allah, saya akan teruskan selepas sambutan Aidilfitri. Bukan nak tunjukkan diri bagus, tetapi hanya ingin berkongsi ilmu yang ada dengan rakan lain,” katanya.

Tak kisah kurang popular

Jika dibandingkan dengan hero lain, kebanyakan mereka berjaya mencipta populariti dan mengumpul kelompok peminat tersendiri. Berbeza dengan Amar apabila dia tidak kisah dirinya kurang popular pada mata peminat, memadai namanya saja dikenali.

“Saya okey saja jika tidak popular asal dikenali. Isteri pun selalu cakap, saya tidak popular, tetapi kalau ke mana saja, orang akan kenal dan ingin bergambar.

“Bagi saya, populariti tidak kekal lama. Apa yang penting, tawaran kerja sentiasa ada. Alhamdulillah, dari dulu sampai sekarang tawaran berlakon tidak pernah putus.

“Saya percaya, jika hasil kerja berkualiti orang pasti nampak. Malah menjadi prinsip saya iaitu biarkan kualiti kerja berbicara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amar terbabit dalam penggambaran filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda terbitan A Aida Productions Sdn Bhd. Amar melakonkan watak Nadim yang memerlukannya belajar memanah bagi menjayakan watak itu.

“Cabaran kali ini ada banyak babak yang memerlukan saya memanah. Jadi, saya kena buat persiapan awal. Saya masuk kelas memanah di Sungai Buloh dan membeli barang memanah sendiri. Saya kena biasakan diri dengan senjata ini.

“Kalau tak berlatih, nanti masa berlakon penonton boleh nampak saya kekok,” katanya.

Filem arahan Bade Azmi itu sudah memulakan penggambaran di Kota Tinggi dan Johor Bahru pada 1 Mei lalu. Selain Amar, filem itu menampilkan 36 pelakon lain antaranya Nadia Brian, Mas Khan, Eyra Hazali dan Datuk Fizz Fairuz.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 9:08 AM