Tan Sri Dzulkifli Ahmad letak jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
Siti Azila Alias dan Suhaila Shahrul Annuar


KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad meletak jawatan, pagi ini.

Sumber dalaman SPRM ketika dihubungi, mengesahkan beliau sudah menghantar surat perletakan jawatan kepada Ketua Setiauasaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa, pagi tadi.

Sumber itu berkata, Dzulkifli bertemu dengan KSN kira-kira 8 pagi tadi untuk menyerahkan surat itu.

Difahamkan, Dzulkifli memberi notis sebulan perletakan jawatan.

Ditanya sama ada Dzulkifli akan meninggalkan pejabatnya hari ini, beliau memberitahu kemungkinan tidak.

Dzulkifli, 50, dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Ogos 2016, menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang ditempatkan sebagai Pakar Perunding Integriti, Fakulti Undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Semalam, NSTP melaporkan Abu Kassim antara nama yang disebut untuk kembali menerajui suruhanjaya itu di bawah pentadbiran kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Difahamkan, beliau dijangka akan dibawa kembali ke agensi penguatkuasaan itu memandang beliau masih pegawai SPRM dan menjadi antara individu pertama yang mengetuai siasatan skandal 1MDB dan SRC International, pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 12:24 PM