Nurul Izzah ketika ditemui di Pusat Rehabilitasi Cheras. NSTP/Eizairi Shamsudin
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@hmetro.com.my


MESYUARAT Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengenai pembebasan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim esok diawalkan kepada jam 11 pagi dan bukannya 5 petang seperti diberitahu sebelum ini.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dalam kenyataannya berkata, pihaknya mendapat pengesahan itu melalui setiausaha parti sebentar tadi.

"Mesyuarat akan berlangsung di Istana Negara dan akan dihadiri oleh Tuanku DYMM Agong (Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V), Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anggota lain.

"Pembebasan Anwar dijangkakan berlaku lebih kurang tengah hari esok dan semua anggota parti serta penyokong dicadang berkumpul di perkarangan Hospital Rehabilitasi Cheras untuk menyambut beliau," katanya.

Sehingga jam 3.40 petang Nurul Izzah masih berada di pusat rehabilitasi berkenaan melawat bapanya sejak 1.13 tengah hari tadi, manakala beberapa wakil media terus berkumpul sejak pagi tadi bagi mendapatkan perkembangan terkini Anwar.

Berita berkaitan

Agong bersidang esok mengenai pembebasan Anwar

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 4:01 PM